Jaik diarah panggil Skuad Badar, kata exco agama Kedah 


Zaim Ibrahim

Exco agama Kedah, Ismail Salleh berkata beliau sudah mengarahkan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) untuk memanggil Skuad Badar "dalam masa terdekat". – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2018.

PIHAK berkuasa agama negeri Kedah akan mengadakan perbincangan dengan Skuad Badar minggu depan berhubung operasi cegah maksiat yang mereka jalankan di Sungai Petani tanpa kebenaran sejak dua tahun lalu, kata Exco agamanya Ismail Salleh. 

Sementara itu, pihak polis mengulangi pendirian bahawa mereka hanya akan mengambil tindakan ke atas sukarelawan itu sekiranya ada laporan daripada pihak yang terjejas. 

Ismail memberitahu The Malaysian Insight, beliau sudah mengarahkan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) untuk memanggil Skuad Badar “dalam masa terdekat”. 

Beliau sendiri pula akan bertemu dengan mereka Ahad ini kerana kumpulan sukarelawan itu dijadual menyerah memorandum kepadanya membantah penyebaran kitab Bible kepada umat Islam. 

“Pada waktu itu, saya akan bagi isyarat tentang kegiatan mereka,” kata Ismail kepada The Malaysian Insight. 

Awal minggu ini, media melaporkan dakwaan penyebaran kitab suci bagi penganut agama Kristian itu di daerah Kuala Muda, Kedah. 

Beberapa penduduk menjumpai kitab tersebut dalam versi Bahasa Inggeris dan Tamil di perkarangan masjid, peti surat, dan halaman rumah. 

“Bahagian pengkuatkuasaan Jaik juga akan panggil (Skuad Badar) dalam masa yang terdekat untuk nyatakan apa mereka itu buat tidak betul,” kata Ismail 

Dalam pada itu, Ismail sekali lagi menegaskan, tindakan Skuad Badar menahan dan membawa pasangan Muslim yang ditahan berkhalwat ke tanah perkuburan salah di sisi undang-undang. 

“Bukan itu pendekatan kerajaan baru yang memegang konsep Rahmatan Lil Alamin. Hendak ketuk pintu pun ada SOP (standard prosedur operasi), bukan sesuka hati,” jelas beliau. 

Foto: Serbuan cegah maksiat Skuad Badar

Susulan laporan The Malaysian Insight kelmarin, Presiden Skuad Badar, Azhaar Mohamad hairan kenapa pihak berkuasa mempersoalkan kegiatan mereka sedangkan ia sudah berjalan selama dua tahun di Sungai Petani tanpa sebarang bantahan. 

“Kegiatan ini bukan baru hari ini dilakukan… bukan baru hari ini saya letak di Facebook. 

“Kenapa hari ini baru dipertikaikan? 

“Jika kami bersalah, kenapa pihak polis tak panggil kami?” soalnya. 

Presiden Skuad Badar, Azhaar Mohamad sebelum ini mendakwa pihaknya mendapat restu pihak polis dan pihak berkuasa agama negeri kerana mereka memaklumkan pihak polis sebelum operasi dan memaklumkan juga pihak Jaik hasil operasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2018.

Sementara itu, Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Kuala Muda, Azli Abu Samah berkata, pihaknya akan terus memantau pergerakan Skuad Badar. 

“Kita tunggu kalau ada laporan, baru akan bertindak dengan undang-undang,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, terdapat pegawai polis yang membenarkan kegiatan sukarelawan itu, tetapi atas dasar agama dan bukannya perundangan. 

“Ini isu agama, kita memang suka cegah kemungkaran. Mungkin pegawai polis itu cakap (boleh) dari soal agama tetapi bukan konteks perundangan,” tambah beliau. 

Jelas beliau, Skuad Badar juga perlulah mempunyai dokumen hitam putih untuk mempertahankan diri mereka dan bukannya dengan menuding jari kepada mana-mana pihak. 

Azhaar sebelum ini mendakwa pihaknya mendapat restu pihak polis dan pihak berkuasa agama negeri kerana mereka memaklumkan pihak polis sebelum operasi dan memaklumkan juga pihak Jaik hasil operasi. 

Azli bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight laporan polis yang dibuat Skuad Badar sebelum operasi mereka bukan satu kebenaran daripada pihak polis. 

Operasi cegah maksiat Skuad Badar yang  menyerbu antaranya hotel murah di Sungai Petani mencari pasangan Muslim berkhalwat, selain memeriksa rumah sekiranya mendapat aduan orang ramai, mengundang pelbagai reaksi. 

Kumpulan peguam hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) turut beranggapan, operasi mereka tidak ada ciri-ciri Islam kerana melanggar ruang peribadi individu, kata pengarah eksekutifnya, Latheefa Koya. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof Rawa pula berkata, apa-apa penguatkuasaan agama mesti dilaksanakan selari dengan peruntukan undang-undang. – 16 November, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen