Masalah berlapis-lapis dalam wujudnya Skuad Badar


Noor Azam Shairi

Pada satu lapis, ia menelanjangkan isu kelas, mental feudalisme baru dan fenomena politik Malaysia yang sangat membimbangkan, kalau pun belum lagi sampai di ambang bahaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 November, 2018.

ADA banyak sisi yang boleh kita lihat daripada kisah wujudnya kumpulan sukarelawan cegah maksiat di Sungai Petani, Kedah yang menggelarkan diri sebagai Skuad Badar

Pada satu lapis, ia menelanjangkan isu kelas, mental feudalisme baru dan fenomena politik Malaysia yang sangat membimbangkan, kalau pun belum lagi sampai di ambang bahaya.

Isu ini dengan jelas menunjukkan betapa hidup miskin itu bukan sesuatu yang memalukan, sebaliknya ia sangat menyusahkan. Orang miskin lebih terasa susah kerana kemiskinannya berbanding malu.

Sudahlah menyusahkan, selalu pula ditindas dan dianiaya, dan terpinggir pula daripada undang-undang. Mereka selalu juga dilupakan oleh masyarakat, malah negara. 

Setelah ditindas, dilupakan dan terpinggir, golongan miskin ini hanya tahu meraung dalam diam. Apa daya mereka untuk melawan?

Kalau apa yang sukarelawan itu lakukan diterima masyarakat, apakah memang harus ada diskriminasi dalam cegah maksiat? Orang miskin dilarang berdosa?

Ini bukan cerita baru. Kalau bukan media melaporkan adanya sukarelawan cegah maksiat ini, Skuad Badar di Sungai Petani sudah lama menghebahkan ‘kejayaan’ mereka melalui Facebook.

Melihat pada komen-komen di media sosial, hebahan mereka tentang serbuan ke hotel murah, atau kedai makan pada bulan puasa, kafe siber selepas azan solat Jumaat atau menggertak pasangan menonton wayang di pawagam, umumnya mendapat sokongan.

Skuad Badar meletakkan pada bahu mereka sendiri tanggungjawab mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, yang mereka ambil dari Quran dan hadis.

Dengan tanggungjawab itu, sejak dua tahun lalu mereka membuat serbuan cegah maksiat berdasarkan aduan orang ramai atau pemantauan unit risikannya.

Operasi itu mereka jalankan sendiri, bukannya bersama anggota pihak berkuasa agama negeri atau anggota polis.

Sebelum setiap operasinya, Skuad Badar membuat laporan polis 'untuk beritahu', yang kemudiannya mereka anggap sebagai kebenaran pihak berkuasa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 November, 2018.

Apakah pihak berkuasa agama Kedah tidak tahu? Mereka tahu. Skuad Badar sendiri mengaku mereka saling berhubung.

Apakah polis tidak tahu? Polis lebih tahu. 

Sebelum setiap operasinya, Skuad Badar membuat laporan polis “untuk beritahu”, yang kemudiannya mereka anggap sebagai kebenaran pihak berkuasa.

Apakah wakil rakyat tidak tahu? Mustahil wakil rakyat tidak tahu.

Kalau wakil rakyat tidak tahu, buat apa terus berpaut pada kerusi kuasa sampai dua tiga kali pilihan raya? Buat apa terus jadi wakil dan mabuk pula jawatan-jawatan baik dalam parti atau kerajaan.

Kenapa apabila sekarang ditanya sikap dan pendirian mereka tentang kegiatan sukarelawan cegah maksiat ini, mereka berkata Skuad Badar “keterlaluan”, matlamat tidak menghalalkan cara dan jangan belakangkan undang-undang.

Selama ini, pendirian mereka apa? 

Kita jujur saja. Tidak usahlah main wayang. Ini cakap politik — di belakang lain, di depan lain. 

Hakikatnya, selama dua tahun ini, baik pihak berkuasa agama mahupun pihak polis, tidak buat apa-apa — sampai cacing sekarang sudah naik ke mata.

Kita jujur saja. Apabila semua yang berkenaan selama ini pejam sebelah mata, pada siapa lagi yang boleh kita harapkan? 

Siapa yang hendak kita salahkan kalau ada pihak naik tocang dan menguatkuasakan sendiri undang-undang — dan sinis pula kepada pihak yang bertanggungjawab?

Apakah pihak berkuasa agama dan pihak polis tidak tahu bahawa selama dua tahun ini mereka dihina kerana tidak cekap menguatkuasakan undang-undang?

Penghinaan itu mereka buat terbuka. Dalam banyak wawancara dengan media, Skuad Badar berkali-kali menegaskan mereka ada kerana pihak berkuasa tidur.

Kenapa pihak berkuasa tidur? Kenapa wakil rakyat diam tidak kata apa-apa?

Inilah masalahnya apabila agama dipolitikkan. Mengkritik agamawan garis keras seperti Skuad Badar bererti menempa nama dicap sebagai anti Islam, atau lebih teruk lagi, bakal penghuni neraka.

Malang sungguh kita apabila mahu mengambil sikap betul mengikut lunas undang-undang pun harus mencongak matematik politik.

Dalam konteks ini, kita harus belajar daripada pengalaman Indonesia. Radikal agama yang sekarang memecahbelahkan kesatuan republik itu dengan politik garis kerasnya, sekurang-kurangnya dua dekad lalu bermula sebagai sukarelawan cegah maksiat.

Sukarelawan itu lahir sebagai reaksi kepada keadaan sosio ekonomi lingkungan dan kelompok mereka. Mereka kembali kepada agama, dan menabalkan diri sebagai pembela agama. Selebihnya, adalah sejarah.

Contohnya sudah ada. 

Lalu, kita mahu memilih jadi apa? – 14 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen