Azmin tinggalkan Rafizi majoriti lebih 5,000 undi


Nabihah Hamid

Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli bersaing untuk merebut jawatan timbalan presiden PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2018.

DENGAN lima lagi cabang belum diketahui keputusannya, Mohamed Azmin Ali mendahului pencabarnya Rafizi Ramli dengan lebih 5,000 undi dalam persaingan jawatan timbalan presiden PKR yang dijadual berakhir hari ini.

Selain Julau di Sarawak yang digantung keputusannya kerana siasatan polis berhubung dakwaan sistem pengundian elektronik digodam, setakat ini belum juga ada keputusan tidak rasmi dari empat cabang di Melaka yang mengundi semula.

Empat cabang itu ialah Bukit Katil, Kota Melaka, Masjid Tanah dan Jasin. 

Jumlah terkumpul di semua negeri yang dikira The Malaysian Insight mendapati Azmin meraih 68,843 undi berbanding 63,568 undi dimiliki Rafizi, menjadikannya mendahului dengan kelebihan 5,275 undi. 

Azmin juga membayangkan beliau memenangi pemilihan itu apabila memuat naik ucapan syukur melalui Twitter, awal malam ini.

“Alhamdulillah dan syukur. Terima kasih kepada semua anggota KEADILAN yang bersama membingkai muafakat untuk meneruskan agenda reformasi tulen,” tulis penyandang timbalan presiden itu.

Sementara itu, Rafizi yakin beliau akan dapat memintas Azmin apabila keseluruhan undi yang belum dikira dimuktamadkan keputusannya minggu ini, sebelum Konvensyen PKR bermula Jumaat ini.

“Saya yakin bila keputusan penuh itu keluar esok atau lusa saya boleh menang lebih 4,500 undi,” katanya, dalam satu rakaman video ucapan kepada penyokongnya di Sarawak, yang beredar di media sosial.

Biro Politik PKR dijangka bermesyuarat Selasa ini untuk memutuskan keputusan pemilihan parti ini, termasuk status undi ragu yang belum jelas.

Kuala Selangor di Selangor yang mengundi semula hari ini dimenangi oleh Azmin dengan kelebihan 600 undi, lapor Bernama.

Agensi berita nasional itu memetik ketua penyelaras PKR Selangor Hassan Yusof berkata Azmin mendapat 982 undi sementara Rafizi 389 undi.

Keputusan tidak rasmi di Tawau, Sabah yang juga mengundi semula hari ini dimenangi oleh Azmin dengan majoriti 817 undi. Azmin meraih 2,357 undi sementara Rafizi mendapat 1,540 undi di Tawau.

Pemilihan di Tawau sekali lagi berdepan kontroversi apabila timbul dakwaan sesetengah ahli boleh mengundi beberapa kali kerana sistem pengundian elektronik gagal mengesan mereka sudah memilih.

Tawau yang mengundi pada kali pertama minggu lalu dibatal dan ditangguhkan selepas ada pihak ketiga dikesan mengundi bagi pihak ahli yang sepatutnya mengundi sendiri.

Semenara itu, Rafizi juga menang besar di Pensiangan, Sabah dengan majoriti 2,126 undi. Beliau mengumpul 2,388 mengatasi Azmin yang hanya dapat 262 undi.

Pensiangan mengundi semula hari ini selepas proses pengundian hujung minggu lalu dihentikan dan kemudian ditangguhkan kerana faktor keselamatan, atas persetujuan semua calon. 

Dua cabang lain di Sabah juga mengundi sekali lagi iaitu Keningau semalam dan Tawau hari ini.

Di Keningau semalam, Rafizi bersaing sengit dan menang hanya tiga undi mengalahkan Azmin.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi juga, Azmin menang di semua 24 daripada 29 cabang di Sarawak. 

24 cabang itu antaranya ialah Mambong, Sri Aman, Stampin, Sarikei, Petra Jaya, Santubong dan Sibu. 

Rafizi hanya menang empat cabang iaitu Serian, Kapit, Miri dan Limbang. 

Sementara itu, Rafizi menang tipis Negeri Sembilan selepas pemilihan semula di Jelebu. Naib presiden PKR itu mendapat 2,898 undi berbanding dan Azmin ketinggalan 15 undi. 

Jelebu memilih semula selepas proses pengundian pada 20 Oktober lalu kehilangan 2,000 undi kerana masalah teknikal..

Bulan lalu, Rafizi menang di empat cabang iaitu Seremban, Rasah, Rembau dan Tampin, manakala Azmin menerima undi terbanyak di Teluk Kemang, Kuala Pilah dan Jempol. – 11 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen