CALON timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menang pada pemilihan semula di Keningau hari ini dengan majoriti hanya tiga undi.
Pemilihan semula yang diadakan di dewan badminton Kompleks Sukan Keningau, berjalan dengan lancar. Keputusan itu diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilhan Pusat (JPP) pada jam 4.30 petang tadi.
Rafizi memperoleh 624 undi manakala Azmin memperoleh 621 undi. Kira-kira 2,000 ahli PKR keluar mengundi, menjadikan jumlah peratusan keluar mengundi ialah 38%.
Azmin sebelum ini menang di Keningau dengan 381 undi, manakala Rafizi memperoleh 203 undi sebelum Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengumumkan pengundian semula tiga hari lepas.
Kekecohan berlaku ketika proses pengundian berlangsung di Keningau minggu lepas apabila penyokong Rafizi bertindak cuba masuk ke dalam dewan mengundi pada saat akhir.
Rafizi yang berada dalam dewan berkata beliau hampir diserang oleh seorang lelaki dan satu laporan polis dibuat.
Kali ini JPP memutuskan untuk mengasingkan proses pengundian bagi kedua-kedua kem Rafizi dan Azmin bagi mengelakkan insiden sama berulang.
“Cara ini lebih baik. Tak perlu campurkan penyokong ketika beratur seperti kekecohan yang berlaku pada pengudian sebelum ini,” kata Naib Pengerusi PKR Sabah, Kenny Chua.
Di Sabah, Azmin menang di Kalabakan, Libaran, Sandakan, Sepanggar, Beaufort, Kota Belud, Beluran, Putatan, Kudat, Papar, Silam, Ranau, Tenom dan Kinabatangan.
Selain Keningan hari ini, Rafizi juga menang di Kota Marudu, Kota Kinabalu, Batu Sapi, Tuaran, Sipitang, Kimanis, Penampang dan Semporna
Pengundian semula di cabang Pensiangan dan Tawau akan dijalankan esok. – 10 November, 2018.
Komen