ENAM bulan selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, peniaga mendapati perniagaan mereka merosot dan para pengguna menanggung kos lebih tinggi untuk membeli barang keperluan.
Rata-rata peniaga pasar tani di Seksyen 17, Petaling Jaya mengeluh pendapatan mereka merosot akibat kuasa pembeli yang semakin menurun.
Pengerusi Pasar Sentosa Low Chun Foo berkata Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak terlalu mempengaruhi hasil jualan, namun beliau dapat melihat keuntungan peniaga merosot.
“Selepas bulan Julai, keuntungan perniagaan turun 35%. Pengguna sekarang berjimat cermat.
Mereka membeli apabila perlu, tidak seperti dulu iaitu untuk satu minggu. Barangan sukar dijual, kita tak boleh harapkan semua barangan dapat dijual dalam sehari,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight, hari ini.
Beliau memberi contoh, bagi penjualan sayur-sayuran, mereka hanya mengambil dua hingga tiga kilogram untuk satu hari tetapi itu pun tidak mampu dihabiskan dalam masa sehari.

“Kita pernah turunkan harga barang, tetapi pelanggan tetap kurang membeli barang kerana berjimat,” tambahnya.
Bagi seorang peniaga buah-buahan, Ho See Siong, 50, jualannya merosot hingga 50% sejak enam bulan lalu.
“Kalau dulu saya jual satu meja penuh, tapi sekarang saya jual setengah sahaja. Jual buah senang sikit, sebab pelanggan mahu buah berkualiti dan harga berpatutan.
“Tapi bukan semua orang jual buah. Macam mana dengan peniaga ikan, daging? Mereka lagi susah, barangan itu ikut musim. Kalau naikkan harga, orang tak mahu beli,” kata beliau.
Sementara itu, di Dato’ Keramat, Kuala Lumpur, Mohd Akmal Hakim berkata, pelanggan semakin berkurangan ke kedai runcitnya kerana merasai harga barang yang semakin meningkat.
“Ada pelanggan yang mengeluh tentang harga barang, tetapi tiada apa-apa yang boleh kami lakukan.
“Kami cuba memberi penjelasan tetapi pelanggan masih sukar memahaminya,” kata Hakim yang sudah mengambil alih tugas mengurus kedai runcit warisan keluarganya sejak enam tahun lepas.
Beliau memberi contoh, satu bekas aiskrim buatan tempatan yang dikenakan cukai jualan 5%, kini dijual dengan harga RM10.50 dengan SST.
Dengan GST sebelum ini, harga airkrim berkenaan hanyalah RM9.90.
Katanya, hasil jualan untuk sebulan merosot hingga 30%, berdasarkan hitungan ibunya yang sentiasa melihat perkembangan kedai runcit mereka itu.
Ketika ditanya, peniaga di kedai runcit kecil dan gerai dalam pasar ini tidak dapat menjelaskan kenaikan harga tersebut dan hanya menyatakan bahawa mereka mengikut senarai harga barangan dikenakan SST.
Kerajaan PH berjanji untuk menghapuskan GST yang mengenakan cukai pelbagai peringkat dengan SST yang hanya melibatkan cukai satu peringkat.
Pengenalan cukai baharu itu terus mendapat kritikan dari pembangkan yang mempersoalkan sama ada SST berjaya menurunkan kos sara hidup.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan tidak pernah berjanji bahawa SST akan menurunkan harga barangan perkara itu ditentukan pelbagai faktor eperti permintaan dan tawaran dan juga kadar tukaran wang asing.
Dalam pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan turut mengekalkan bantuan kewangan kepada golongan B40 melalui Bantuan Sara Hidup (BSH) dengan beberapa penambahbaikan.
Bantuan itu dianggarkan memberi manfaat kepada 4.1 juta rakyat dengan peruntukan sebanyak RM5 bilion.
Perbelanjaan bulanan pengguna meningkat

Beberapa pengguna di Sungai Kandis, Shah Alam yang ditemui The Malaysian Insight, mengakui perbelanjaan bulanan mereka juga meningkat.
Amdan Habib, 56, memberitahu bahawa perbelanjaan bulanannya sebelum ini adalah sebanyak RM400 tetapi meningkat kepada RM450.
“Antara perkara yang isteri saya sering mengeluh adalah harga bawang. Walaupun peningkatannya tidak drastik tetapi, tetapi ia beri kesan kepada perbelanjaan isi rumah kerana bawang merupakan makanan asas,” katanya.
Beliau menjelaskan, peningkatan harga barang ini kemungkinan disebabkan harga barangan mentah yang melambung tinggi hingga memberi kesan terhadap barangan-barangan lain.
Menurut Normadiah Muhammad,35, yang mengusahakan restoran makanan Kelantan bersama suaminya berkata, dengan wang perbelanjaan sebanyak RM1,200, tidak banyak barangan yang boleh dibeli seperti dahulu.
“Sekarang dengan jumlah yang sama, kami hanya mampu membeli barangan yang sikit. Dulu kami perlu berbelanja RM1,200 tetapi kini meningkat kepada RM1,500,” katanya.
Ibu kepada empat anak itu mengesan peningkatan ketara bagi harga minyak masak.

“Kami gunakannya setiap hari, sebab itu kami tahu harganya naik dan ia menjejaskan perniagaan kami,” tambahnya.
Bagi Muhammad Amin, 34, walaupun sedar peningkatan harga barang tetapi beliau reda kerana tiada apa-apa yang boleh dilakukan.
“Perbelanjaan isi rumah memang sentiasa meningkat, tetapi apa boleh kita buat? Harga barangan akan sentiasa naik juga,” kata beliau.– 10 November, 2018
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Rizuan abdul rahman · Ulasan