Saya tak pernah kata SST akan turunkan harga, kata Guan Eng


Looi Sue-Chern

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendakwa Pakatan Harapan tak pernah berjanji yang SST akan turunkan harga barang dan kos sara hidup, dakwaan yang mendapat bantahan pembangkang dalam Dewan Rakyat hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2018.

SESI soal jawab Dewan Rakyat hari ini bertukar kecoh dan hampir jadi debat tentang perolehan cukai selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendakwa tidak pernah berjanji yang Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan menurunkan harga barang.

Ismail Sabri Yaakob (Bera-BN) berkata dalam soalan tambahan kepada Kementerian Kewangan yang pentadbiran Pakatan Harapan membuat kesilapan dengan memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan menggantikannya dengan SST.

Katanya, tindakan itu bukan sahaja menyebabkan kerugian perolehan cukai dialami kerajaan dianggarkan mencecah RM17 bilion tetapi juga melanggar janji untuk menghalang kenaikan kos sara hidup dan harga barangan.

“Harga barangan dan kos sara hidup terus meningkat. Mungkin ia kesilapan kerajaan menggantikan GST dengan SST,” kata Ismail dalam sesi soal jawab Dewan Rakyat yang disiarkan secara langsung di RTM hari ini. 

Dalam jawapannya, Lim (Bagan-PH) berkata Ismail “tersalah maklum” kerana Jabatan Perangkaan melaporkan yang kadar inflasi turun daripada 0.8% pada Julai kepada 0.2% pada Ogos tahun ini selepas GST dimansuhkan dan sebelum SST dilaksanakan bulan lepas.

Katanya, sebulan sebelum GST diperkenalkan pada April 2015, kadar inflasi berada pada tahap 0.1% yang bermakna cukai tidak disukai rakyat itu mempunyai kesan terus kepada kadar peningkatan inflasi.

“Kerajaan (PH) tak pernah jamin yang harga barang tak akan naik. Apa yang kami janjikan selama ini adalah jika harga naik…” kata Lim tetapi tidak dapat menghabiskan ucapannya kerana sorakan pembangkang dalam dewan.

Ismail Sabri hari ini bertanyakan tentang kesan penghapusan GST kepada perolehan kerajaan dalam Dewan Rakyat yang menukar sesi soal jawab jadi sesi perdebatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2018.

Apabila sorakan itu reda, Lim berkata beliau sudah menjawab soalan itu sebelum ini.

“Jika Yang Berhormat (Sabri) boleh tunjuk di mana saya kata SST akan turunkan harga, sila berbuat demikian. Jika tak boleh tunjuk bukti, jangan cuba sebarkan fitnah jahat.”

Beberapa ahli Dewan kemudiannya membuat bising, dan seorang daripada mereka berkata: “Biar Anwar Ibrahim ambil alih.”

Anwar yang menang Pilihan Raya Kecil Port Dickson Sabtu lalu baharu sahaja mengangkat sumpah awal pagi tadi sebelum sesi soal jawab bermula. Beliau sebelum ini adalah timbalan perdana menteri dan menteri kewangan Barisan Nasional pada era 1990-an.

Speaker Mohamad Ariff Md Yusod kemudiannya terpaksa mengingatkan ahli Dewan yang sesi itu bukan sesi perdebatan.

Ismail juga mempersoalkan Lim tentang cukai baharu yang akan diperkenalkan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan dan kesannya kepada rakyat.

Lim menjawab, ahli Parlimen BN perlu menunggu dua minggu lagi untuk pembentangan Bajet 2019.

Sebelum itu, Lim menjawab soalan lisan daripada Ismail tentang kehilangan perolehan kerajaan persekutuan selepas pemansuhan GST dan strategi untuk menampung kehilangan itu.

Kerajaan kehilangan RM21 bilion kerana pemansuhan GST dan hanya mendapat RM4 bilion daripada SST dalam tempoh September hingga Disember tahun ini, kata Lim Guan Eng.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2018.

Lim menjawab yang kerajaan akan kehilangan kira-kira RM21 bilion dengan pemansuhan GST dan hanya mendapat kira-kira RM4 bilion daripada SST untuk September hingga Disember tahun ini.

Katanya, sebahagian daripada kehilangan RM17 bilion itu akan ditampung oleh perolehan petroleum dan dividen daripada syarikat berkaitan kerajaan.

Usaha lain yang diambil kerajaan untuk meningkatkan pendapatan, katanya adalah menerusi audit dan siasatan berterusan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam untuk meningkatkan pematuhan pembayaran cukai dan menutup jurang cukai.

Tambahnya lagi, Putrajaya juga sudah memulakan proses rasionalisasi jabatan kerajaan, menstrukturkan semula keutamaan perbelanjaan, menangguh atau melakukan rundingan semula projek kos tinggi.

“Kerajaan juga akan meneroka sumber pendapatan baharu, terutama transaksi dalam talian; dan menyemak semula insentif cukai bagi memastikan kesan minimum kepada pengurangan perolehan dan pada masa sama menjana aktiviti ekonomi.” – 15 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen