Keahlian cabang Julau jadi isu sebab libat kem Rafizi


Nabihah Hamid

Beberapa pihak mendakwa turut berlaku pertambahan mendadak di cabang lain tetapi tidak dijadikan isu kerana kawasan berkenaan cenderung menyokong penyandang timbalan presiden Mohamed Azmin Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2018.

PERTAMBAHAN ahli PKR yang mendadak di cabang Julau, Sarawak jadi pertikaian kerana calon berpengaruh di kawasan itu menyokong Rafizi Ramli, kata pendukung calon timbalan presiden itu.

Di cabang-cabang lain pun ada juga peningkatan mendadak ahli baru tetapi tidak dijadikan isu kerana kawasan berkenaan cenderung menyokong penyandang timbalan presiden Mohamed Azmin Ali, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Johari Abdul.

“Ia jadi isu sebab di Julau, YB Larry Sng menyokong Rafizi. Cuba kalau dia sokong Azmin, tiada bunyilah,” katanya, yang bertanding jawatan naib presiden daripada kem Rafizi.

“Pendaftaran itu telah ditegaskan biro politik, ia adalah sah. Saya juga ada dalam majlis pimpinan. Jadi kenapa hendak pertikaikan lagi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Larry Sng menang kerusi Parlimen Julau atas tiket bebas pada pilihan raya umum 9 Mei lalu. Beliau kemudian menyertai PKR dan menyatakan sokongan secara terbuka kepada Rafizi yang mencabar Azmin untuk jawatan timbalan presiden.

Johari mengulas gesaan pimpinan PKR daripada kem Azmin yang mahu pemilihan di Julau esok digantung susulan kontroversi keahliannya yang diragui dan sedang disiasat agensi anti rasuah.

Mereka mahu cabang itu dikecualikan daripada terlibat dalam pemilihan parti sehingga siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai. Namun Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) memutuskan pemilihan esok berjalan seperti biasa.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan petang tadi juga semacam mempersoalkan kenapa hanya keanggotaan parti di Julau yang jadi isu.

Beliau mendedahkan permohonan 1,000 ahli baru di cabang Batu yang dibuat tanpa serahan borang keahlian, serta pendaftaran anggota Rela dan penerima sumbangan kerajaan negeri Selangor di beberapa cabang di Selangor.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Johari Abdul menegaskan pendaftaran keahlian di cabang Julau sah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2018.

Cabang Batu diketuai Tian Chua yang diketahui penyokong Azmin,  manakala Selangor juga adalah negeri kubu kuat beliau yang pernah jadi menteri besar negeri itu.

Sejak selepas PRU14, keahlian PKR bertambah hampir 70%, dengan ahli baru itu membentuk lebih kurang 40% daripada mereka yang layak memilih pada pemilihan sekarang.

Sementara itu, calon timbalan ketua sayap Pemuda, Raymond Ahuar berkata pimpinan parti mesti menghormati keputusan parti dan tidak menggunakan media untuk menyuarakan rasa tidak puas hati.

“Ini boleh bawa bincang dalam mesyuarat biro politik. Jadi kenapa menggunakan media,” katanya.

Kontroversi keahlian PKR cabang Julau memuncak apabila pimpinan parti di Sarawak membuat laporan kepada SPRM mendakwa adanya “pengundi hantu”.

Mereka mendakwa ada lebih 11,000 ahli yang berdaftar di Julau yang menggunakan 11 alamat yang sama, selain lebih 400 nama didaftarkan dua kali.

Raymond sementara itu mempertahankan isu alamat yang sama kerana ia melibatkan struktur rumah panjang di Sarawak yang tidak mempunyai nombor rumah.

“Ini yang mereka kurang faham mengenai Sabah dan Sarawak. Kita ada yang alamatnya di rumah panjang. Hampir 200 orang duduk di rumah panjang Kita hanya letak nama kampung sahaja.

“Dalam rumah panjang mana ada nombor. Kenapalah ini dipertikai?” katanya lagi.

Sementara itu calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Nik Nazmi Nik Ahmad turut membangkitkan beberapa cabang lain yang menimbulkan keraguan pendaftarannya tetapi tidak dibangkitkan.

“Ada juga isu selepas ada pihak tertentu hendak daftarkan ahli Rela. Malah ada ribuan ahli di Cabang Batu yang tidak mempunyai borang. 

“Sebelum ini di bawah Rafizi lebih ketat untuk memohon ahli tetapi ada pihak yang minta dilonggarkan,” kata ketua Pemuda AMK itu. 

Beliau turut mengulangi tiada sebarang bantahan yang dibuat dalam tempoh diberikan. 

“Kita sudah ikut tarikh yang sepatutnya dan parti juga melaksanakan keputusan berdasarkan maklum balas termasuklah dari sana (kem Azmin),” katanya lagi. – 9 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen