SEJAK PAS jadi kerajaan baharu di Terengganu, Che Siti Dollah dan ahli keluarganya hanya sibuk di kilang keropok tempat mereka sekeluarga bekerja di pekan Kuala Besut, lebih kurang 100 km dari Kuala Terengganu.
Sebagai pemain mak yong, Che Siti dan anak cucunya tahu apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang sekali lagi di Terengganu, mereka akan berdepan realiti baru, yang tidak ubah seperti suatu hukuman.
“Apabila tukar kerajaan (negeri Terengganu), kita sebagai orang mak yong rasa kurang suka… sebab kita tidak lagi boleh main mak yong,” kata Che Siti kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut, baru-baru ini.
Sehingga ini, kerajaan Menteri Besar Ahmad Shamsuri Mokhtar belum membuat apa-apa pengumuman rasmi larangan ke atas mak yong dan seni persembahan tradisi lain, tidak seperti yang dikuatkuasakan di Kelantan sejak 1992, dua tahun selepas parti Islam itu menggantikan BN.
Namun kumpulan Mak Yong Cahaya Matahari pimpinan Che Siti sudah diberitahu oleh wakil PAS setempat di kampung mereka di Kuala Besut, mereka kini tidak lagi boleh membuat persembahan secara terbuka seperti dulu.
“Bulan lepas (September) ada wakil PAS datang berjumpa saya, beritahu kami tidak boleh main mak yong lagi di sini.
“Apabila diberitahu begitu, saya rasa susah hati… sebab kami ini orang mak yong,” tambahnya.

Che Siti, 81, atau lebih mesra dengan panggilan Mek Ti, memimpin kumpulan mak yong itu selepas terajunya sebelum ini Che Ning atau Che Som Sulong meninggal dunia pada 1995.
Sambil mengimbau pengalamannya naik panggung sejak remaja, ketika kumpulan Mak Yong Cahaya Matahari berkeliling di seluruh tanah air sejak 1960-an sampai awal 1990-an, Che Siti mengeluh bimbang dengan sikap PAS dan kesenian tradisi.
Beliau membandingkannya dengan pentadbiran BN yang sebelum ini tidak mengganggu kegiatan mak yong, malah memberikan galakan secara tidak langsung.
“Setidak-tidaknya dulu, dalam sebulan boleh dua kali kami main di Besut,” katanya, merujuk pada kegiatan kesenian anjuran pihak berkuasa tempatan di Kuala Besut.
Che Siti lebih bingung lagi kerana dia dan kumpulan Mak Yong Cahaya Matahari tidak boleh bermain di kampung sendiri atau di negeri sendiri, sebaliknya dijemput ke Kuala Lumpur dan Shah Alam untuk mempersembahkan mak yong.
“Sampai ke Paris pun ada orang panggil Mek Ti pergi main,” katanya, tersenyum kelat, sambil berkali-kali menyebut jasa baik badan kebudayaan Pusaka mengetengahkan mak yong kepada generasi baru.

Belum ada larangan
Exco Kerajaan Terengganu Ariffin Deraman bagaimanapun berkata setakat ini kerajaan negeri belum lagi membuat keputusan mengenai kedudukan mak yong dan seni persembahan tradisional yang lain.
“Belum ada keputusan apa-apa. Kita akan tengok dulu. Kita sudah ada perbincangan (pada peringkat kerajaan negeri).
“Pada dasarnya, kita mahu tradisi yang ada disesuaikan dengan kehendak syarak. Kita akan nilai dengan lebih terperinci mana yang boleh dan yang tidak boleh,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Awal Oktober lalu, kerajaan negeri Terengganu mengeluarkan garis panduan baharu bagi program kesenian dan kebudayaan di negeri itu, yang antara lain menetapkan hanya lelaki boleh membuat persembahan nyanyian dan tarian secara terbuka.

Garis panduan 11 perkara itu juga mensyaratkan penyanyi dan penari wanita hanya dibenarkan membuat persembahan untuk penonton wanita di tempat tertutup.
“Ini garis panduan saja, kita keluarkan sebab masa itu ada penganjuran festival muzik (di Pulau Redang). Kita masih lagi bincang, ada pada peringkat jawatankuasa exco.
“Kita akan tengok satu persatu. Kita akan jelaskan nanti selepas selesai perbincangan. Mungkin kita akan ada dasar kebudayaan,” kata Ariffin, yang juga Adun Alor Limbat.
Kelantan, yang juga diperintah oleh PAS sejak 1990, mengharamkan mak yong dan seni persembahan tradisi lain seperti menora dan main puteri antara lain kerana dikatakan mempunyai unsur syirik.
Mak yong tanpa ritual
“Saya di Kelantan sudah lama mengalaminya, sudah lebih 20 tahun. Orang di Besut ini baru ini merasa,” kata Md Gel Mat Dali, atau Pak Su Agel, yang mengetuai pemain muzik mengiringi Mak Yong Cahaya Matahari.
Md Gel, 60, yang disifatkan “Raja Gendang Kelantan” tinggal di Pasir Puteh, Kelantan. Setiap kali kumpulan mak yong itu membuat persiapan untuk persembahan, misalnya untuk Festival Seni Hidup 2019 di Kuala Lumpur minggu depan, beliau dan pemuzik lainnya akan datang ke Kuala Besut untuk latihan.
“Sekarang ini tak tahu kita nak berlatih di mana,” katanya, merujuk pada larangan wakil PAS di Kuala Besut itu.
“Tapi kalau nak berlatih di rumah saya di Pasir Puteh pun boleh, tak jauh dari sini,” tambahnya.

Md Gel bagaimanapun tidak menyalahkan kerajaan PAS seratus peratus atas nasib yang menimpa seni warisan tradisional ini. Katanya, sikap kerajaan PAS di Kelantan yang keras terhadap mak yong, main puteri dan menora itu sebahagiannya kerana salah penggiat seni itu sendiri.
“Silapnya sebab nak pegang sangat pada ritual. Mesti sembah pulut kuning dan telur, gendang tak boleh langkah, mesti ada itu, mesti ada ini.
“Mak yong ini bentuk persembahan saja, ceritanya boleh macam-macam,” katanya.
Che Siti juga tidak faham kenapa soal percampuran lelaki dan perempuan yang dijadikan isu kerana semua anggota kumpulan mak yongnya terdiri daripada ahli keluarga.
“Yang main mak yong ini saya, anak, menantu, anak saudara, cucu… semuanya kaum keluarga saya… pun tak boleh juga,” keluhnya.

Mak yong yang terhukum di buminya sendiri bagaimanapun pada 2008 diangkat oleh Unesco sebagai Warisan Dunia.
September tahun lalu, wakil Pertubuhan Bangsa Bersatu yang meneliti hak budaya di Malaysia menggesa kerajaan negeri Kelantan menarik balik larangan persembahan terbuka mak yong dan lain-lain bentuk seni tradisional.
Gesaan wakil yang dihantar oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB bagaimanapun tidak diendahkan oleh kerajaan negeri Kelantan. Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata tiada sebab kenapa pengharaman sejak tahun 1992 itu perlu ditarik balik. – 6 November, 2018.
Komen