Kelantan enggan ubah dasar, Mak Yong kekal haram


Kelantan melaksanakan pengharaman Mak Yong tidak lama selepas menang pilihan raya umum 1990 dan membentuk kerajaan negeri. – Gambar Youtube, 22 September, 2017.

KERAJAAN PAS Kelantan tegas mempertahankan pengharaman persembahan Mak Yong di negeri itu walaupun wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa sekatan ke atas seni warisan dunia itu ditarik balik.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata tiada sebab kenapa pengharaman sejak tahun 1990 itu perlu ditarik balik.

“Kita ada dasar kita sendiri untuk tidak membenarkan persembahan Mak Yong daripada dilakukan di Kelantan.

“Kalau nak buat persembahan di luar Kelantan tak ada masalah, kita tetap dengan dasar kita,” kata beliau, seperti dipetik oleh Free Malaysia Today.

Pelapor Khas PBB dalam bidang hak budaya, Karima Bennoune menggesa kerajaan Kelantan menarik balik larangan lebih 20 tahun ke atas persembahan seni budaya tradisional seperti Mak Yong, Wayang Kulit, Main Puteri dan Dikir Barat.

Katanya, seni budaya tradisi itu sepatutnya boleh diraikan oleh semua orang dan dibenarkan berkembang di tempat asalnya untuk generasi akan datang, dan bukannya di luar lingkungan asalnya.

UNESCO pada 2005 mengisytiharkan Mak Yong sebagai warisan dunia.

Sementara itu aktivis budaya Eddin Khoo berkata pengharaman persembahan Mak Yong oleh kerajaan Kelantan tidak pernah menghalang seni budaya itu daripada diamalkan, dinikmati dan diwariskan kepada generasi baru

Beliau yang juga pengarah Pusaka, sebuah badan yang memperjuangkan seni budaya tradisional, bagaimanapun menyokong agar pengharaman itu ditarik balik.

Katanya, pengharaman sejak 20 tahun lalu itu bukan saja menceroboh hak masyarakat untuk berbudaya, malah ia menceroboh kehidupan masyarakat itu sendiri, terutamanya di Kelantan.

“Amat penting untuk diketahui, sepanjang tempoh pengharaman itu, pemain Mak Yong terus menyesuaikan diri dan mengamalkan tradisi ini, sementara masyarakat terus menghadiri dan mengambil bahagian dalam persembahan Mak Yong.

“Seni budaya ini juga telah diturunkan kepada generasi muda, membuktikan bahawa budaya, memori dan susur galurnya lebih penting kepada sebuah masyarakat berbanding politik dan ideologi yang cuba menekankan hal yang sebaliknya,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight.

Pusaka sejak beberapa tahun yang lalu aktif memperkenalkan Mak Yong kepada masyarakat di luar Kelantan, termasuk membawanya ke luar negara.

Eddin bagaimanapun mengakui pengharaman itu turut menyebabkan ada dalam kalangan masyarakat Kelantan memandang budaya sendiri dengan serong dan keliru akibat pengharaman tersebut.

Kelantan melaksanakan pengharaman itu tidak lama selepas menang pilihan raya umum 1990 dan membentuk kerajaan negeri. Namun, ia dilaporkan tidak pernah menguatkuasakan pengharaman itu mengikut undang-undang. – 22 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen