PBB gesa Kelantan tarik balik larangan persembahan Mak Yong


Pelapor Khas PBB dalam bidang hak budaya, Karima Bennoune berkata Kelantan kaya dengan tradisi seni, sekatan ke atas bentuk seni tradisional juga perlu ditarik balik. – Gambar sejarahkelantan.com, 22 September, 2017.

KERAJAAN negeri Kelantan digesa menarik balik larangan persembahan tarian Mak Yong dan lain-lain bentuk seni tradisional Melayu secara terbuka.

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam bidang hak budaya, Karima Bennoune berkata budaya ini yang kaya dengan tradisi sebaliknya perlu diraikan dan dihargai kerana ia seni pentas yang tertua di dunia.

Beliau berkata langkah juga perlu diambil bagi meningkatkan kefahaman dan penjelasan tentang maksud amalan ini, dan sejarahnya yang panjang di Malaysia untuk mengatasi pandangan prejudis mengenainya.

“Oleh kerana Kelantan kaya dengan tradisi seni, sekatan ke atas bentuk seni tradisional yang lain seperti wayang kulit, main puteri dan dikir barat juga perlu ditarik balik. Rakyat harus menikmati persembahannya dan menghargai budaya asli ini yang wujud selama berabad-abad,” katanya pada sidang media mengenai hak budaya Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Mak Yong merupakan salah satu persembahan seni tradisi tertua Kelantan dan ia diiktiraf sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Sidang media itu diadakan untuk membentangkan dapatan awal Bennoune hasil lawatannya selama 11 hari ke Malaysia yang berakhir hari ini dan menilai usaha untuk melaksanakan hak budaya terutama hak rakyat untuk mengambil bahagian dalam kehidupan budaya tanpa diskriminasi.

Bennoune yang berada di negara ini atas jemputan kerajaan Malaysia, diberi mandat oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk pemantauan, mengkaji semula, dan memberi nasihat tentang hak budaya di semua negara.

Sementara itu, Bennoune bercakap tentang perlunya menyemak dan menjelaskan kriteria untuk penapisan buku dan filem serta menjadikan proses membuat keputusan lebih telus bagi menjamin hak kebudayaan termasuk kebebasan persembahan seni di negara ini.

“Istilah seperti kontroversi atau sensitif terlalu subjektif untuk mematuhi standard antarabangsa mengenai kebebasan bersuara. Di samping itu, lebih banyak sokongan perlu diberikan untuk penerbit filem bebas dan dokumentari termasuk platform dalam media nasional,” katanya. – Bernama, 22 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen