Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayob berkata segala keputusan menerima mana-mana ahli pembangkang yang lompat perlu dibincangkan dengan cermat di peringkat tertinggi Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Pulai itu berkata ini kerana beliau enggan PH dijadikan tempat pelarian politik.
“Sebab sewenang-wenangnya (mereka sertai) atas kepentingan peribadi. Semua itu harus kita cermati supaya saya tidak mahu PH jadi tempat atau destinasi mana-mana yang kita katakan sebagai pelarian politik,” katanya ketika mengulas dakwaan 40 ahli Parlimen Umno mahu menyertai Bersatu.
Sehubungan itu katanya, segala keputusan akan dibuat pada mesyuarat Majlis Presiden minggu depan.
“Sekarang ini adalah ketegasan dan juga prinsip yang harus dipertahankan oleh PH dan semuanya nanti akan kita bincang dengan teliti. Dalam mesyuarat Majlis Presiden PH minggu depan, kita harus teliti atas sebab apa (hendak sertai),” katanya.
Sementara itu, ahli Parlimen PKR Johari Abdul mengesahkan ada perbincangan dalam PH mengenai isu ahli lompat parti.
“Bergantung kepada keadaan, sekarang kita tak bincang jadi tunggu keputusan baru saya buat komen,” katanya.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Ibrahim Man yang mengutuk tindakan lompat parti itu berkata parti itu sudah ambil langkah awal mencadangkan satu akta digubal untuk menyekat ahli Parlimen berbuat demikian.
“Kita kena hormat rakyat yang memilih kita dan parti yang memberikan harapan. Bagi saya sebarang tindakan lompat parti ini merupakan pengkhianatan kepada parti yang pilih dia dan rakyat yang memilih parti tersebut.
“Bila PAS kemukakan pada 1970, kerajaan berpendapat larangan ini bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Kami masih mengharapkan satu pindaan akta dibuat bagi menyekat mana-mana ahli Parlimen atau Adun yang lompat parti,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen.

Ahli Parlimen Bachok dari PAS, Nik Abduh Nik Mat berkata perbuatan melompat parti tidak beretika.
“Mereka mendapat mandat yang jelas dalam PRU bahawa rakyat memilih bukan disebabkan mereka tetapi kerana parti yang mereka sokong.
“Apabila individu yang menjadi calon bertindak lompat parti bagi saya itu mengkhianati dan sikap itu diambil oleh PAS sejak dulu.
“Mereka yang lompat parti tidak ada seorang pun yang kita terima menjadi ahli PAS. Sekarang tidak ada yang lompat parti masuk parti,” katanya yang juga ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu.
Ahli Majlis Tertinggi Bersatu A Kadir Jasin baru-baru ini berkata semua 40 ahli Parlimen Umno telah bertemu dengan pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad dan presiden, Muhyiddin Yassin.
Media melaporkan, pertemuan itu untuk memujuk wakil rakyat Umno berkenaan untuk menyertai Bersatu. – 1 November, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Rizuan abdul rahman · Ulasan