SERAMAI 40 Ahli Parlimen Umno dijangka mengikut jejak Mustapa Mohamed untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata A. Kadir Jasin.
Ahli Majlis Tertinggi Bersati itu berkata kesemua 40 Ahli Parlimen itu telah bertemu dengan pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad dan presiden, Muhyiddin Yassin.
Katanya Majlis Tertinggi parti juga telah berbincang perkara itu pada pertemuan semalam dan tidak mahu mendedahkan identiti Ahli Parlimen tersebut.
“Bagaimanapun kita masih belum membuat sebarang keputusan untuk menerima mereka sebagai ahli Bersatu,” katanya seperti dilaporkan The Star Online hari ini.
“Mereka perlu meletak jawatan dan menyertai kita sebagai individu, bukannya secara berkumpulan,” lapor portal itu memetika kenyataan Kadir.
Semalam, Mustapa atau Tok Pa yang merupakan Ahli Parlimen Jeli mengumumkan menyertai Bersatu selepas keluar daripada Umno pada September lalu.
Mengulas penyertaan Mustapa, Dr Mahathir berkata penyertaan itu dibuat secara sukarela dan bukan atas jemputan parti.
“Saya amat sukacita kerana kita terima keahlian dari bekas tokoh Umno. Kita telah beri masa kepadanya untuk jadi anggota Parlimen bebas dan setelah kita lihat pendiriannya maka kita setuju beliau layak jadi anggota parti Bersatu,” katanya.
Mustapa menjadi ahli Parlimen kawasan itu sejak ia diwujudkan pada 1995 dan kalah hanya sekali pada 1999, kesan peralihan undi Melayu kepada pembangkang dalam pilihan raya umum ke-10 itu.
Beliau berkata keputusan itu diambil memandangkan Umno sukar untuk memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti itu.
Tambah Mustapa tiada tanda-tanda majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali meyakini perjuangan Umno. – 27 Oktober, 2018.
Komen