Ramai ahli Parlimen Umno dilamar Bersatu, kata Annuar Musa


Nabihah Hamid

Setiausaha Agung Umno Annuar bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah ahli Parlimen yang dipujuk untuk sertai Bersatu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2018

UMNO mengesahkan ramai ahli Parlimen lain parti itu dipujuk untuk mengikut jejak langkah Mustapa Mohamed untuk menyertai parti Bersatu.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata pujukan itu bertujuan untuk menguatkan Bersatu yang kini hanya menguasai 13 kerusi di Dewan Rakyat.

Malah ada di antaranya berunding sendiri dengan parti kerajaan itu, kata 

“Ada ramai kena lamar. Ada secara langsung. Ada (secara) perantaraan. Pokoknya idea untuk memperkuatkan (Bersatu).

“Memang perbincangan itu ada. Ada juga tiga atau empat ahli parlimen dalam rekod saya pergi berunding (sendiri).

“Kita faham Bersatu lemah dengan 13 kerusi. Kita faham. Sebagai orang politik. Tapi kita juga ada tanggungjawab yang lebih besar,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di lobi parlimen.

Ketika ditanya, Anuar bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah ahli Parlimen yang dipujuk itu.

Beliau mengulas dakwaan ahli majlis tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin bahawa kesemua 40 ahli Parlimen Umno telah bertemu dengan pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad dan presiden, Muhyiddin Yassin.

Media melaporkan, pertemuan itu adalah untuk memujuk wakil rakyat Umno berkenaan untuk menyertai Bersatu.

Mengulas lanjut, Annuar juga berkata beliau bagaimanapun tidak tersenarai dalam ahli parlimen yang ingin menyertai Bersatu. 

“Saya tak dilamar, saham tak tinggi… Saya Setiausaha Agung (Umno). Saya bukan orang siapa-siapa. Saya daripada dulu sampai sekarang berhasrat kekal berkhidmat dan kekal pada parti, “ katanya.

Katanya beliau tidak mahu mengikut jejak Mustapa, ahli Parlimen Jeli dan juga bekas menteri Umno yang popular dengan nama jolokan Tok Pa di Kelantan.

Mustapa yang keluar parti pada September mengumumkan menyertai Bersatu pada Jumaat lalu.

Dr Mahathir ketika mengumumkan penyertaan Mustapa berkata penyertaan itu dibuat secara sukarela dan bukan atas jemputan parti.

“Saya amat sukacita kerana kita terima keahlian dari bekas tokoh Umno. Kita telah beri masa kepadanya untuk jadi anggota Parlimen bebas dan setelah kita lihat pendiriannya maka kita setuju beliau layak jadi anggota parti Bersatu,” katanya. – 29 Oktober, 2018

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen