KERAJAAN persekutuan boleh menanggung kos pentadbiran Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya menguruskan kewangan dengan baik, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.
Ahli Parlimen Pandan itu mencadangkan kerajaan mengurangkan perbelanjaan lain yang tidak penting seperti mempunyai jet peribadi perdana menteri yang memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi.
“PTPTN berkata ia perlukan bayaran pentadbiran tersebut bagi membayar kos operasinya seperti kakitangan, utiliti dan sebagainya. Tetapi pada zaman ini, kebanyakan operasi PTPTN telah dijalankan melalui komputer. Kos pentadbiran mereka setahun dianggarkan tidak mencecah 50 juta ringgit (RM50juta).
“Sedangkan kos selenggara dan operasi sebuah jet peribadi kerajaan setahun dianggarkan lebih RM80 juta. Dan kerajaan mempunyai dua jet ini. Sekiranya kerajaan mengurangkan jet peribadi, ia boleh menyalurkan duit RM80 juta kepada PTPTN dalam bentuk geran.
“Dengan ini, PTPTN dapat membayar kos operasinya dan tidak perlu kutip ujrah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Rafizi mengulas laporan TMI mengenai keengganan PTPTN menghapuskan kos pentadbiran satu peratus bagi pinjaman ujrah kerana mematuhi syariah selain kenaan kos yang minima.
Peminjam PTPTN pada awal bulan lalu menggesa penghapusan bunga ekoran rasa terbeban membayarnya kerana bergaji kecil selain komitmen dan sara hidup yang tinggi.
Justeru Rafizi menggesa kerajaan lebih prihatin isu ini kerana melibatkan rakyat Malaysia terutamanya golongan muda.
“Adakah kerajaan mengatakan kepada graduan muda dan peminjam PTPTN adalah lebih penting membelanjakan (lebih) RM80 juta untuk jet peribadi daripada memberi duit tersebut kepada PTPTN supaya tabung tersebut tidak perlu lagi kutip ujrah daripada peminjam?
“Saya syak bahawa PTPTN mengalami masalah aliran wang (cash flow). Mereka ada masalah dalam mengimbangi kutipan daripada peminjam dan membayar kos operasi dan faedah daripada bon dan pinjaman PTPTN sendiri ambil daripada bank, Institusi kewangan dan pasaran kewangan.
PTPTN sebelum ini menegaskan tidak membebankan peminjam kerana sudah menyerap faedah lima peratus yang dikenakan bank selepas kerajaan tidak lagi memberi geran sejak 2003 untuk diagihkan sebagai pinjaman pendidikan.
Namun badan itu tidak menjawab pertanyaan TMI apakah fungsi caj 1 peratus yang dikenakan dalam pinjaman Ujrah yang dilaksanakan sejak 2008 itu.
Dalam pada itu, Rafizi turut mendakwa pada 2011, hutang yang ditanggung PTPTN berjumlah RM23 billion dan kini meningkat naik sehingga RM40 bilion.

‘Bunga’ 1% bebankan anak muda
Walaupun dilihat jumlah paling minimum dikenakan, Rafizi berkata jumlah tersebut amat membebankan terutamanya graduan yang baru bekerja dengan punca pendapatan kurang daripada RM2,000.
“Bagi memenuhi ketetapan syariah, istilah bunga telah ditukar kepada ujrah iaitu 1%. Ujrah ini juga sering ditakrifkan sebagai bayaran pentadbiran (administrative fee).
“Walaupun 1% ini nampak kecil tapi sebenarnya boleh menjadi beban kepada seorang graduan yang hanya mendapat gaji dua ribu ringgit (RM2,000) apabila mereka mula bekerja.
“Dengan kos sara hidup terutamanya di bandar yang tinggi 3% sebulan masih lagi tinggi,” katanya lagi.
Pembangkang mahu hapuskan ‘bunga’, tambah geran pendidikan
Rafizi menegaskan sekiranya Pakatan Harapan memenangi Putrajaya pada pilihan raya akan datang, tiada lagi kos pentadbiran akan dikenakan kepada peminjam.
Pakatan sebaliknya akan memperuntukkan geran untuk PTPTN bagi mengurangkan beban peminjam.
“Sekiranya Pakatan Harapan dapat mengambil alih kerajaan, kami akan berusaha memberikan geran kepada PTPTN supaya ia tidak perlu lagi mengenakan bayaran pentadbiran ke atas peminjam.
“Ini bagi mengalakkan lebih ramai lagi peminjam cepat-cepat melangsaikan hutang mereka dengan PTPTN,” katanya.
Beliau turut membidas tindakan senarai hitam terhadap peminjam kerana boleh melumpuhkan ekonomi negara.
Laporan bernama 13 Ogos lalu menyebut PTPTN sasarkan kutipan bayaran balik pinjaman sebanyak RM4 bilion menjelang akhir tahun ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Idris Jusoh berkata sasaran itu mampu dicapai berdasarkan peningkatan kutipan setiap tahun yang diperoleh PTPTN hingga mampu mengutip RM3.4 bilion tahun lepas walaupun sasaran asal hanya RM2 billion.
Tambahnya, 284,210 peminjam yang pernah disenarai hitam sudah membayar balik keseluruhan pinjaman selepas pengenalan program “Boleh Bincang” sejak Mac.
Statistik terkini Jabatan Imigresen Malaysia mendedahkan lebih setengah daripada 622,768 rakyat Malaysia yang dilarang ke luar negara sejak 2010 merupakan peminjam PTPTN. – 13 Ogos, 2017.
Komen