Umno tidak akan jual pegangan saham Utusan, kata CEO


Zaim Ibrahim

Menurut penganalisis, harga saham Utusan mampu dilonjakkan jika Umno menjual sahamnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2018.

Laporan yang mengatakan Umno akan menjual pegangan saham di dalam Utusan Melayu (M) Bhd adalah tidak benar, kata Pengerusi Eksekutif syarikat itu, Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Ketika dihubungi The Malaysian Insight, Abdul Aziz menafikan beliau berjumpa dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan berbincang untuk menjual saham Umno di dalam syarikat itu.

Baru-baru ini, sebuah blog melaporkan Ahmad Zahid bersetuju untuk menjual 49 peratus pemilikan saham Umno di dalam Utusan kerana parti itu “tidak mempunyai pilihan dan tidak mempunyai duit untuk terus menjaga Utusan.” 

Bagi seorang penganalisis saham yang enggan dikenali, harga saham Utusan mampu dilonjakkan jika Umno menjual sahamnya.

“Akan ada prospek baru kepada Utusan kerana ada pemegang saham baharu. Mungkin (ia) boleh berikan nafas baharu kepada syarikat itu. 

“Perkara ini akan lonjakkan harga saham. Apabila harga saham naik, ia juga boleh diterjemahkan kepada nilai aset-aset mereka yang lain,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan siapa yang sanggup membeli saham syarikat akhbar berbahasa Melayu itu kerana ia kini berstatus PN17 kerana menghadapi masalah kewangan dan gagal membayar hutang sebanyak RM 1.2 juta daripada dua bank.

“Kalau ada pelan perniagaan, tidak menjadi masalah tetapi siapa yang berani untuk beli (saham)? 

“Berapa billion perlu dilaburkan, berapa tahun untuk tukar persepsi umum (terhadap Utusan), dan berapa tahun untuk turnaround?” soal beliau sambil menambah Utusan juga perlu penjenamaan semula bagi meraih kepercayaan masyarakat. 

Bagi penganalisis politik Universiti Malaya Hamidin Abd Hamid, hala tuju dan editorial Utusan perlu diberi perhatian.

Katanya, status PN17 yang dipegang Utusan Malaysia tidak menjadi masalah untuk pelabur-pelabur lain membeli sahamnya. 

“Saya merasakan statusPN 17 itu tidak ada masalah. Utusan ada nilai dan jenamanya. 

“Cabarannya adalah hala tuju Utusan. Adakah mereka mahu mewakili kepentingan masyarakat atau menjadi suara politik?” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Beliau berpendapat, untuk memenangi semula minat pembaca, Utusan perlu bersifat bebas dan mencari jenis perniagaan yang boleh membawa keuntungan. 

Utusan sebelum ini lewat membayar gaji kakitangannya bagi bulan Ogos dan September hingga kakitangannya sedia melancarkan piket. 

Pada 21 September lepas, Kumpulan Utusan menawarkan VSS untuk mengurangkan separuh daripada 1,500 kakitangannya.

Pampasan yang ditawarkan itu adalah rendah tetapi selepas pelbagai desakan dan campur tangan Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar, pihak pengurusan bersetuju untuk menaikkan kadar pampasan tersebut.

Syarikat itu dikuasai oleh Umno dengan pegangan saham 49.77%, menikmati keuntungan kali terakhir pada 2011.

Kerugian terkumpulnya sehingga ini berjumlah RM 71.4 juta setakat Mac lepas. – 27 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen