Pemuda Umno bawa suara sendiri, bukan ikut telunjuk, kata pimpinan parti


Nabihah Hamid Mohd Farhan Darwis

CADANGAN Pemuda Umno agar presiden parti Ahmad Zahid Hamidi bercuti sementara kes mahkamahnya selesai adalah suara sayap itu sendiri dan bukannya ditunjuk oleh tangan ghaib, kata beberapa pemimpin bahagian dan ahli Majlis Tertinggi.

Mereka merasakan usul itu tulen datang daripada Pemuda Umno melihat pada kedudukan parti yang lemah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dan pemimpinnya pula berdepan pertuduhan jenayah di mahkamah, walaupun ada spekulasi ia kononnya didalangi pihak tertentu yang mahu menyingkirkan Zahid.

Ketua Umno Bahagian Shah Alam Azahari Shaari berkata beliau percaya kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki ikhlas daripada pergerakan itu sendiri.

“Kita tengok kenyataan itu memang asli daripada Pemuda Umno. Kita merasakan itu pendirian mereka. Saya sendiri merasakan ia bukan daripada arahan sesiapa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pemuda Umno membuat gesaan itu hasil ketetapan mesyuarat exconya kelmarin,  susulan 45 pertuduhan membabitkan kesalahan rasuah dan pecah amanah.

Asyraf juga menegaskan usul Pemuda Umno itu bukan bermakna Zahid bersalah tetapi peluang untuk beliau membersihkan namanya tanpa dikaitkan dengan parti. Cadangan itu juga bukan  tuntutan agar Zahid melepaskan jawatan sebagai presiden Umno, katanya.

Pendirian Pemuda Umno itu bagaimanapun dikecam pimpinan Umno, termasuk Ketua Pemuda Umno Perak, Mohd Ariff Abdul Majid yang mendakwa beliau bersendirian menentang suara majoriti sayap itu.

Ahmad Zahid Hamidi disaran supaya beliau bercuti daripada jawatan presiden Umno susulan 45 pertuduhan membabitkan kesalahan rasuah dan pecah amanah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2018.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam pula paling lantang mengkritik Asyraf dan Pemuda Umno, sehingga menggelar bekas timbalan menteri itu bangsat.

Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Jalaluddin Alias mengakui boleh ada perbezaan pendapat dalam parti namun menggesa semua agar tidak terburu-buru menyatakan pendirian.

Katanya, apa yang patut jadi fokus ahli dan pimpinan Umno ialah mengukuhkan semula parti.

“Bagi saya setiap orang ada pandangan. Tapi saya harap pimpinan Umno jangan melatah kerana kenyataan boleh memecahbelahkan parti, kita harus fokus untuk memulihkan parti dan perkuat akar umbi,” katanya.

Seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno yang enggan dinamakan merasakan kenyataan sayap itu tidak didalangi mana-mana pihak, namun tidak menolak ia mempunyai kaitan dengan sejarah peribadi membabitkan bapa Asyraf.
 
Beliau mengingatkan bapa Asyraf, Dusuki Ahmad pernah bekerja sebagai setiausaha politik kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya rasa dia (Pemuda Umno) suruh (Zahid) bercuti bukan gerakan dari sesiapa tetapi kita kena ingat bapa dia (Asyraf) pernah jadi setiausaha politik Dr Mahathir. 

“Jadi ini adalah mungkin kaitan dengan Dr Mahathir,” kata sumber itu, dengan syarat dirahsiakan identitinya.

Lokman Nor Adam antara MT Umno yang mengecam dan mengkritik Pemuda Umno susulan kenyataan sebulat suara mereka itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2018.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan Umno Perak Saarani Mohamad berkata, gesaan Pemuda Umno itu sebenarnya menguntungkan Pakatan Harapan (PH) memandangkan pendakwaan terhadap Zahid bermotif politik.

“Zahid didakwa sebab ada orang hendak halang kita daripada bergerak, nak lumpuhkan kita, jika kita suruh presiden bercuti maka tercapai cita-cita mereka, apa pun peringkat negeri Perak dan akar umbi akan terus sokong Zahid,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kedudukan Zahid sebagai presiden Umno jadi debat hangat selepas beliau berhadapan 45 pertuduhan melibatkan 10 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan menerima suapan lebih RM42 juta, dan 27 pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram.

Kesemua pertuduhan itu melibatkan keseluruhan wang berjumlah RM114 juta, berkait dengan Yayasan Akal Budi yang beliau pengerusikan serta beberapa keputusan semasa menjadi menteri dalam negeri ketika Barisan Nasional memerintah.

Zahid mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan. – 27 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen