AHMAD Zahid Hamidi tidak akan berundur daripada memimpin Umno sebaliknya akan terus memenuhi mandat yang diberikan kepadanya untuk menerajui parti Melayu itu dalam era baru sejarahnya sebagai pembangkang.
Presiden Umno itu menegaskan beliau akan terus menggalas tugas dan amanah yang diberikan kepadanya oleh ahli-ahli parti bersama barisan pimpinan yang lain, yang terpilih pada pemilihan parti akhir Jun lalu.
“Apabila ada cadangan untuk saya mengambil cuti… dalam erti kata lain untuk berundur, saya tidak menganggap ia adalah satu opsyen.
“Mengalah bukan satu opsyen pada saya,” katanya kepada media selepas majlis taklimat tertutup bersama pimpinan Umno Terengganu di Kuala Terengganu, petang ini.
Beliau mengulas keputusan mesyuarat exco Pemuda Umno semalam yang mencadangkan agar Zahid bercuti sementara kes mahkamahnya selesai.
Minggu lalu, Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 45 tuduhan melibatkan jenayah pecah amanah, salah guna kuasa semasa jadi menteri dalam negeri dan pengubahan wang haram.

Tegas Zahid, jawatan yang beliau pegang sekarang ditentukan oleh ahli-ahli parti dalam pemilihan dan hanya boleh ditentukan oleh mereka, bukan sesiapa yang lain.
“Biar perhimpunan agung yang tentukan kedudukan jawatan seseorang pemegang jawatan dalam parti, bukan disebabkan oleh cadangan atau lain-lain pandangan yang tidak mengikut perlembagaan parti,” katanya, yang bagaimanapun enggan menjawab sebarang soalan daripada media.
Zahid hari ini memulakan siri jelajahnya ke seluruh negara, bermula di Terengganu, negeri yang terlepas sekali lagi kepada PAS pada pilihan raya umum yang lalu.
Menurut ahli Parlimen Bagan Datuk itu, siri jelajah yang disertai pimpinan tinggi Umno ke negeri-negeri ini ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan dan Biro Politik Umno untuk pucuk pimpinan parti turun ke akar umbi.
Zahid hari ini disertai Timbalannya Mohamad Hasan, Naib Presiden Mahadzir Khalid dan Ismail Sabri Yaakob, serta Setiauasaha Agung Annuar Musa dan Ketua Penerangan Shamsul Anuar Nasarah.
Namun menurut Zahid, susulan perkembangan terbaru berikutan kenyataan Pemuda Umno semalam, beliau mengambil kesempatan untuk menjelaskan kedudukan dirinya dan Umno kepada pimpinan Umno negeri.
Sebelum sesi taklimat tertutup di bangunan pejabat Umno Kuala Terengganu hari ini bermula, Zahid melayangkan mesej kepada Pemuda Umno meminta sayap itu bersama-sama saf kepimpinan parti menghadapi musuh bersama, dan bukannya bermusuh sesama sendiri.
Terima kasih di atas pandangan PPUM @PPUMOnline saya raikan kepelbagaian pendapat. Namun yang penting marilah kita terus bergerak bersama untuk menentang musuh yg mahu menghancurkan #UMNO. #umnobangkit #prayforumno
— Ahmad Zahid Hamidi (@Zahid_Hamidi) October 26, 2018
Semalam, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan keputusan exco sayap itu meminta Zahid berundur sementara. Gesaan tersebut bagaimanapun dikecam pimpinan akar umbi sayap itu, termasuk sekurang-kurangnya seorang anggota exco Pemuda Umno dilihat cuba mengasingkan diri daripada keputusan itu.
Sebagai sokongan kepada Zahid, Ketua Pemuda Umno Perak Mohd Ariff Abdul Majid menggesa sayap pimpinannya memboikot permukiman Pemuda Umno yang dijadualkan esok.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam paling lantang mengkritik Asyraf dan Pemuda Umno, sehingga menggelar Asyraf yang juga bekas timbalan menteri sebagai bangsat.

Zahid, yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat dan ahli Parlimen Bagan Datuk, terpilih jadi presiden Umno selepas menang pemilihan parti pada 30 Jun, mengalahkan antara lain Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin.
Selepas Terengganu, Zahid akan ke Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan hujung minggu depan. – 26 Oktober, 2018.
Komen