AHMAD Zahid Hamidi hari ini memulakan siri jelajah ke seluruh negara memberi penerangan mengenai masa depan Umno dan kedudukan beliau selepas dikenakan 45 pertuduhan jenayah di mahkamah.
Presiden Umno itu membuka jelajahnya di Terengganu, negeri yang dirampas semula oleh PAS selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Zahid tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dengan pesawat komersial pukul 11.25 pagi tadi, bersama beberapa pemimpin kanan Umno termasuk timbalannya Mohamad Hasan
Beliau dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Mahmood di Kuala Terengganu dan kemudian makan tengah hari bersama pimpinan badan perhubungan Umno negeri.
Beliau yang disertai barisan Ahli Majlis Tertinggi kemudian akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin dan ahli Umno negeri di Bangunan Umno Kuala Terengganu, petang ini.
Siri jelajah ini dibuka ketika sayap Pemuda Umno menggesa Zahid bercuti daripada tugas sebagai presiden parti sehingga kesnya selesai.
Pemuda Umno membuat gesaan itu hasil ketetapan mesyuarat exconya semalam.
Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki bagaimanapun menegaskan gesaan itu bukan hukuman bersalah atau tuntutan agar Zahid melepaskan jawatan.
Pendirian Pemuda Umno itu bagaimanapun dikecam pimpinan akar umbi sayap. Sekurang-kurangnya seorang anggota exco Pemuda Umno dilihat cuba mengasingkan diri daripada keputusan itu.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam paling lantang mengkritik Asyraf dan Pemuda Umno, sehingga menggelar bekas timbalan menteri itu bangsat.
“Saya cabar kamu untuk letak jawatan dan buat pemilihan semula. Saya akan letak jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi dan saya akan lawan kamu sebagai ketua Pemuda Umno,” kata Lokman.
Minggu lalu, Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 45 tuduhan melibatkan jenayah pecah amanah, salah guna kuasa semasa jadi Menteri Dalam Negeri dan pengubahan wang haram.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu terpilih jadi presiden Umno selepas menang pemilihan parti pada 30 Jun, mengalahkan antara lain Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin. – 26 Oktober, 2018.
Komen