Zahid mula jelajah jumpa akar umbi untuk 'bersihkan nama' 


Nabihah Hamid

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan membuka siri jelajahnya di Kuala Terengganu, Terengganu pada 26 Oktober ini, disusuli dengan Kedah dan Perlis pada 3 November minggu berikutnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2018.

AHMAD Zahid Hamidi yang berdepan 45 pertuduhan di mahkamah akan memulakan siri jelajah seluruh negara bermula Jumaat ini untuk memberi penerangan kepada ahli Umno.

Presiden Umno itu akan membuka siri jelajahnya di Kuala Terengganu, Terengganu pada 26 Oktober ini, disusuli dengan Kedah dan Perlis pada 3 November minggu berikutnya. 

Salinan jadual itu dilihat The Malaysian Insight dan disahkan beberapa pemimpin Umno, antaranya Perak, Terengganu dan Sabah yang menyifatkan jelajah tersebut sebagai satu langkah membersihkan nama ahli Parlimen Bagan Datuk itu. 

Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad berkata perjumpaan seperti ini amat perlu memandangkan pemimpin atasan masih lagi belum berjumpa dengan akar umbi sejak kalah dalam pilihan raya umum yang lalu. 

“Kita dah lalui kekalahan. Parti sudah buat mesyuarat peringkat cawangan dan bahagian. Kemudiannya Perhimpunan Agung Umno. Ada banyak yang berlaku peristiwa yang berlaku yang perlu penjelasan termasuklah penahanan Najib dan Zahid. 

“Kita tak boleh biarkan ahli-ahli tertanya-tanya dan rasa terputus hubungan. Umno akan terus bergerak.

“Saya juga tiap-tiap hujung minggu turun ke 24 bahagian Umno Perak (sejak) 15 september lalu dan berakhir 28 Oktober ini,” katanya yang juga Adun Kota Tampan itu.

Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad berkata perjumpaan seperti ini amat perlu memandangkan pemimpin atasan masih lagi belum berjumpa dengan akar umbi sejak kalah dalam pilihan raya umum yang lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2018.

Dalam pada itu Ahli Majlis Tertinggi Umno Jalaluddin Alias berkata ia merupakan program turun padang yang disusun untuk memperkukuhkan Umno di peringkat akar umbi. 

“Kita ada jelajah presiden bersama ahli jawatankuasa tertinggi Umno. Kita akan berbicara dalam semua hal, isu semasa dan sebagainya. 

“Kita tetap mengambil pendekatan untuk kukuhkan akar umbi walaupun apa pun cabaran yang dihadapi Umno,” kata ahli Parlimen Jelebu itu kepada The Malaysian Insight. 

Dalam pada itu seorang pemimpin Sabah yang enggan dinamakan yakin akar umbi tidak terkesan dengan pendakwaan terhadap Zahid baru-baru ini. 

“Dia akan bersihkan nama. Saya percaya ahli di bawah pun tidak kisah. Di Sabah sokongan mereka sama macam itu juga,” katanya. 

Zahid berdepan 45 pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram mencecah RM114 juta. – 24 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen