Tak baik tuduh orang Sabah pengundi hantu, kata calon Pemuda PKR


Nabihah Hamid

Calon timbalan ketua Pemuda Raymond Ahuar yang berasal dari Sabah menjelaskan, ratusan anak negeri bawah bayu itu bekerja di Selangor dan Kuala Lumpur dan mendaftar sebagai ahli parti. – Gambar Facebook, 22 Oktober, 2018.

CALON pemilihan Pemuda PKR dari kem Rafizi Ramli mengingatkan pihak lawan agar tidak menghina anggota parti dari Sabah yang mahu mengundi dengan gelaran pengundi hantu. 

Calon timbalan ketua Pemuda Raymond Ahuar yang berasal dari Sabah menjelaskan, ratusan anak negeri bawah bayu itu bekerja di Selangor dan Kuala Lumpur dan mendaftar sebagai ahli parti. 

“Tak baik hina kata orang Sabah itu pengundi hantu. Yang saya tahu mereka orang Sabah dan bukan pendatang. Mereka bekerja di Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Malah, anak negeri Sabah yang menganggotai cabang Selayang sahaja berjumlah 100 orang, katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Tambahnya, pihak lawan tidak seharusnya mengambil tugas Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk mengesahkan anggota keahlian seseorang yang mahu mengundi. 

“Itulah gunanya borang 11 perlu diisi dan mereka punya undi tidak dikira pun waktu pemilihan. Cuma perlu pastikan benar dia orang parti. 

“Orang-orang ini bertindak seperti JPP. Ini tiada demokrasi. Ia tidak betul,” katanya lagi. 

Raymond menyatakan keluhan itu ekoran pergaduhan yang timbul dalam pemilihan PKR di cabang Selayang semalam ketika sekumpulan anak negeri Sabah membuang undi.

Dalam kejadian itu, sekumpulan individu dari Sabah itu turut ditangkap.Kejadian itu dirakam peguam PKR, Latheefa Koya dalam satu video yang disebar di Facebook semalam.

Mengulas lanjut kejadian itu, Raymond berkata beberapa orang yang ditunjukkan dalam video tersebut dikenalinya dan merupakan penyokong beliau. 

Tuduhan mengenai kehadiran pengundi hantu dari Sabah itu turut dibangkitkan calon ketua Wanita PKR Haniza Talha dari kem Azmin Ali.

Haniza berkongsi video menunjukkan seorang warga Sabah sedang memegang risalah dan menerima resit untuk mengundi – yang didakwa bukan ahli parti.

“Calon Raymond Ahuar dari team Rafizi menghantar pengundi hantu untuk undi Rafizi di Selayang. Terdesak,” dakwa Haniza pada laman twitternya semalam. 

Dakwaan berhubung kehadiran pengundi hantu itu juga dibangkitkan bekas Adun Rawang Gan Pei Nei yang tewas kepada penyandang ketua cabang Selayang William Leong.

Beliau dilaporkan menuntut agar pemilihan baharu diadakan kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan pemilihan semalam.

Laporan Malaysiakini menyebut, beliau dan pasukannya sedang mengumpul bukti untuk menyokong rayuan tersebut.

Dakwanya, terdapat pengundi dari cabang PKR di negeri Sabah yang cuba mengundi di cabang Selayang.

Dakwanya, beliau dan pasukannya berjaya menghalang beberapa individu ini, tetapi jumlahnya terlalu ramai sehingga terdapat individu lain yang berjaya mengundi.

“Saya temui kira-kira 25 yang dibawa ke sini dengan cara sistematik untuk mengundi,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Leong bagaimanapun dilaporkan yakin bahawa beliau tidak terlibat dengan sebarang salah laku.

“Akan ada satu siasatan penuh dan tidak ada sebarang masalah bagi saya,” katanya.

Tuduhan mengenai kehadiran pengundi hantu itu muncul sewaktu pemilihan PKR masuk fasa kedua minggu lalu.

Selain isu pengundi hantu, turut dibangkitkan adalaah dakwaan wujudnya 2,500 undi ragu dan sewaktu proses pengiraan. 

Di Negeri Sembilan dan Melaka, penjumlahan masih tidak dapat dibuat kerana masalah teknikal. 

Kesahan pemilihan ini juga dipersoal memandangkan kurang 25 peratusan keluar mengundi pada pemilihan 2018 yang disifatkan rendah oleh penganalisis politik. 

Pusingan terakhir untuk pemilihan parti di Selangor akan berlangsung pada minggu depan. – 22 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen