Gan janji MCA pulangkan dana jika benar dari 1MDB


Khoo Gek San

LIM Kit Siang perlu membuktikan dakwaannya benar bahawa dana yang diterima oleh MCA dari bekas perdana menteri Najib Razak datang dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata calon presiden, Gan Ping Sieu.

Jika dakwaan itu terbukti benar, maka wang itu akan dipulangkan sekiranya beliau dipilih sebagai presiden MCA dalam pemilihan parti itu bulan depan, tambah Gan.

Menurut bekas timbalan presiden MCA itu, DAP yang kini sebahagian daripada kerajaan perlu menyiasat jika MCA benar-benar mengambil wang milik 1MDB, bukan sekadar membuat tuduhan.

“Jika terbukti wang itu didapati secara haram, MCA dengan senang hati akan pulangkan.

“Hari ini Pakatan Harapan berkuasa, mereka sepatutnya berhenti menggunakan retorik politik terhadap MCA dan buktikan tuduhan mereka,” kata Gan pada sidang akhbar hari ini bagi mengumumkan manifesto beliau.

Calon presiden itu juga berkata beliau akan bawa MCA keluar daripada BN jika dipilih.

Gan akan bertanding melawan Timbalan Presiden Wee Ka Siong dan Ketua Pemuda Beruas Ngoo Teck Keong.

Beliau mengulas dakwaan Lim yang mengkritik bekas presiden Chua Soi Lek yang berkata MCA menerima dana dari BN dan tidak bertanya kepada Najib mengenai sumber dana yang diberi kepada parti pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Apabila orang memberi anda wang… apabila ayah anda beri wang, adakah anda akan tanya ayah anda dari mana datangnya wang itu? Adakah anda mencurinya? Adakah anda meminjam?” kata Chua.

Beliau juga berkata MCA pasti tahu jika wang itu berasal dari 1MDB.

Najib mengagihkan RM470 juta kepada parti-parti komponen BN ketika PRU13, yang mana RM16.5 juta disalurkan kepada MCA. – 22 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen