MCA akan tinggalkan BN jika saya dipilih sebagai presiden, kata Gan Ping Sieu


Khoo Gek San

Gan Ping Sieu akan berdepan dengan timbalan presiden Wee Ka Siong dan ketua Pemuda MCA Beruas Ngoo Teck Keong pada pemilihan parti bulan depan.– Gambar Youtube, 22 Oktober, 2018

CALON presiden MCA Gan Ping Sieu hari ini berikrar akan mengeluarkan parti itu dari Barisan Nasional sekiranya memenangi pemilihan parti bulan depan.

Beliau juga menyifatkan pemilihan parti itu sebagai referendum berhubung sama ada MCA patut kekal dengan bekas pakatan pemerintah yang disertai sejak sebelum merdeka ketika BN dikenali sebagai Perikatan. 

“Langkah pertama adalah untuk pulihkan MCA dan kembalikan maruahnya. Untuk melakukan ini, kita perlu bebas daripada BN, bergantung pada diri sendiri dan bermula semula,” kata Gan pada sidang media hari ini selepas mengumumkan manifestonya jika dilantik sebagai presiden parti. 

Beliau akan berdepan dengan timbalan presiden Wee Ka Siong dan ketua Pemuda MCA Beruas Ngoo Teck Keong. Presiden parti Liow Tiong Lai berkata beliau tidak akan mengadakan pemilihan semula susulan prestasi yang teruk pada pilihan raya umum ke 14 yang mana beliau sendiri gagal pertahankan kerusi Parlimen Bentong. 

Pada PRU14, MCA bertanding di 39 kerusi Parlimen tetapi hanya memenangi satu kerusi, Ayer Hitam oleh Wee yag merupakan penyandangnya. Ia turut bertanding pada 90 kerusi negeri namun hanya memenangi dua kerusi sahaja. 

Gan hari ini berkata, MCA tidak sepatutnya lagi berada bersama BN kerana parti Umno menjalin kerjasama dengan parti Islam PAS dan syaap partinya yang memainkan isu kaum dan agama. Tambahan pula katanya, pemimpin Umno turut berdepan dakwaan jenayah. 

Semua ini tambah Gan, melanggar nilai teras MCA.

Beliau berkata, MCA tidak akan bertahan sekiranya kekal bersama BN dan meninggalkan pakatan itu akan memberi peluang kedua kepada parti berkenaan. 

Beliau turut menggesa akar umbi agar tidak takut dengan kehidupan di luar BN, kerana MCA perlu menetapkan haluan baru dalam lanskap politik. 

“Masa depan politik Malaysia tidak lagi bergantng kepada satu parti politik dominan, tetapi perikatan politik berbilang parti,” katanya. 

Pemiihan MCA akan diadakan pada 3 dan 3 November depan.

Turut bertanding untuk jawatan timbalan presiden ialah timbalan pengerusi MCA Tee Siew Kiong. Sementara itu, Wee memilih ketua parti Perak Mah Hang Soon untuk jawatan keduanya. – 22 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen