MCA tak tahu dana dari 1MDB, kata bekas presiden


Jika wang itu datang dari 1MDB, kami hanya pihak yang tidak bersalah.Bagaimana kami nak tahu asal-asul wang ini, kata bekas presiden MCA Chu Soi Lek. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2018.

CHU Soi Lek mengaku MCA menerima dana pilihan raya dari bekas pengerusi Barisan Nasional (BN) Najib Razak pada 2015 namun berkata parti itu tiada cara untuk mengetahui dari mana sumber dana itu, lapor Malaysiakini.

“Saya sudah berkata terdapat wang (diberikan Kepada MCA). Tetapi masa itu (2013), tidak ada 1MDB. (Berita mengenai) 1MDB tidak diketahui. (Cakap-cakap mengenai) 1MDB hanya muncul pada 2014” bekas presiden MCA itu dipetik berkata.

“Apabila orang memberi anda wang… apabila ayah anda beri wang, adakah anda akan tanya ayah anda dari mana datangnya wang itu? Adakah anda mencurinya? Adakah anda meminjam?”

“Anda hanya akan terima dengan suci hati, tidakkah anda setuju?”

“(Bahkan) Jika wang itu datang dari 1MDB, kami hanya pihak yang tidak bersalah.Bagaimana kami nak tahu asal-asul wang ini?” kata Chua.

Najib mengagihkan RM470 juta kepada parti-parti komponen BN ketika Pilihan Raya Umum 2013, yang mana RM16.5 juta disalurkan kepada MCA.

1MDB ditubuhkan pada 2009 untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah hab kewangan serta meningkatkan ekonomi menerusi pelaburan strategik.

Anak syarikat Kementerian Kewangan itu mula menarik perhatian selepas ia gagal melunaskan bayaran balik pinjaman RM2 bilion yang sepatutnya sebelum Disember 2014.

Kemudian didapati RM2.6 bilion yang didakwa disalah guna dan disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Apabila ditanya sama ada MCA perlu memulangkan semula wang tersebut memandangkan parti itu maklum ia datang dari 1MDB, Chua berkata jawapan yang akan diberikannya nanti tidak relevan kerana beliau tidak lagi mengawal dana MCA.

“Itu, anda perlu meminta kepimpinan (sekarang),” kata Chua. – 20 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen