Pertuduhan jenayah ke atas saya bermotif politik, kata Zahid


Alfian Z.M. Tahir

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam didakwa atas 45 pertuduhan jenayah yang dianggapnya bermotif politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2018.

AHMAD Zahid Hamidi menyifatkan pertuduhan dan pendakwaan ke atasnya semalam “bermotifkan politik”.

Presiden Umno itu berkata demikian apabila diminta mengulas perasaanya selepas ditahan Khamis lalu dan didakwa dengan 45 pertuduhan pada Jumaat.

“Ia bermotif politik,” katanya dalam SMS kepada The Malaysian Insight hari ini.

Semalam, di luar mahkamah, Zahid berikrar untuk terus menentang pendakwaan terhadapnya.

Malah rakan partinya juga menganggap pertuduhan kepadanya dan Najib Razak adalah bermotif politik dan mereka tidak wajar digantung parti.

Mereka mahu Zahid terus menerajui parti sehingga kes selesai.

Zahid, bekas timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri semalam mengaku tidak bersalah dan minta dibicara atas 45 pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram mencecah RM114.15 juta.

Daripada jumlah tersebut, RM21.25 juta dipercayai rasuah kelulusan projek rekrut pekerja asing ketika beliau jadi menteri dalam negeri.

Menurut ahli Majlis Tertinggi Umno semalam, Zahid Hamidi dan Najib Razak tidak akan digantung keahlian kerana pendakwaan terhadap mereka bermotif politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2018.

Manakala, 27 pertuduhan pengubahan wang haram pula berjumlah RM72.06 juta, serta pembelian dua banglow di Kajang bernilai RM5.9 juta.

Zahid juga berdepan 10 pertuduhan pecah amanah melibatkan dana bernilai RM20.83 juta milik Yayasan Akalbudi yang dipengerusikannya.

Beliau juga berdepan lapan pertuduhan korupsi kerana salah guna kuasa ketika menjadi menteri dalam negeri.

Semalam juga, Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman berkata parti tidak akan menggantung Najib dan Zahid kerana pendakwaan dilakukan kerajaan sekarang bermotifkan politik.

Tajuddin mendakwa pertuduhan kepada Najib dan Zahid tidak sama seperti yang pernah dihadapi beberapa pemimpin sebelum ini yang menyebabkan mereka digantung keahlian parti.

Menurutnya, bezanya adalah pertuduhan kepada pemimpin lain itu tidak bermotifkan politik. – 20 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen