MAJLIS Tertinggi Umno mengambil ketetapan tidak akan menggantung keahlian Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak kerana menganggap tuduhan jenayah terhadap presiden dan bekas presiden parti itu bermotifkan politik.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman berkata, kes jenayah terhadap Zahid dan Najib tidak sama dengan yang dihadapi oleh beberapa ahli parti yang digantung keahlian mereka selepas didakwa di mahkamah.
“Pada peringkat Majlis Tertinggi Umno, kita menganggap bahawa banyak daripada tuduhan ini ada unsur-unsur politik untuk beri tekanan kepada parti, hendak melemahkan parti kita,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Jadi dengan sebab itu kita ambil keputusan dan pendirian, kita akan pertahankan pemimpin kita sehingga mereka didapati bersalah.”
Tajuddin yang dilantik ke Majlis Tertinggi Umno pada Julai lalu berkata, sekiranya Zahid dan Najib didapati bersalah, mereka nanti akan terpaksa letak jawatan.
“Ketika sudah sampai tahap itu kita rasa wajar,” katanya.
Zahid ditahan semalaman sejak petang semalam dan akan dihadapkan ke mahkamah hari ini atas pelbagai tuduhan melibatkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Pertuduhan itu dipercayai ada kaitan dengan dana Yayasan Akal Budi milik keluarganya yang beliau adalah pengerusinya. Zahid sebelum ini dilaporkan disiasat berhubung penggunaan RM800,000 dari dana itu untuk membayar hutang kad kredit beliau dan isterinya.
Sementara itu, Najib setakat ini sudah dikenakan 32 pertuduhan melibatkan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram juga di bawah AMLA.
Minggu ini, Najib dua kali dipanggil hadir ke ibu pejabat SPRM untuk diambil keterangannya berhubung urusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan syarikat International Petroleum Investment Co (IPIC).

Keputusan MT
Berdasarkan ketetapan Majlis Tertinggi Umno pada September 2009, semua ahli Umno yang menghadapi dakwaan di mahkamah akan digantung daripada jawatan parti serta-merta.
Ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Najib sebagai presiden parti pada masa itu, atas syor jawatankuasa pengurusan parti. Majlis Tertinggi juga memutuskan kedudukan mereka dalam parti akan dikembalikan sekiranya didapati tidak bersalah oleh mahkamah.
Dengan ketetapan itulah, beberapa pemimpin Umno di peringkat cawangan di Johor mendesak parti supaya konsisten dengan keputusan sebelum ini. Mereka mahu Umno menggantung keahlian Najib selepas bekas perdana menteri itu dihadapkan ke mahkamah.
Mereka merujuk tindakan Umno terhadap bekas timbalan ketua bahagian Mersing, Abd Latif Bandi yang digantung keahlian parti setelah dituduh di mahkamah atas dakwaan salah guna kuasa.
Mengulas desakan itu, Tajuddin berkata tidak timbul soal Umno tidak konsisten dengan keputusan yang pernah dibuat sebelum ini kerana senario politik ketika ini sudah berubah.
“Mereka boleh tuduh keputusan tidak konsisten itu jika senario konsisten,” katanya.
Tajuddin menambah apa yang dibuat oleh Umno sekarang tidak ada beza dengan yang dilakukan oleh Pakatan semasa jadi pembangkang apabila mempertahankan pemimpin mereka yang berdepan kes di mahkamah.
“Mereka pertahankan sehinggalah kalau macam PKR itu, Anwar didapati bersalah dan dipenjarakan, namun mereka tetap mempertahankan Anwar. Malah diterima sebagai ketua umum.
“Jadi tidak salah jika Umno juga turut mempertahankan pemimpin-pemimpin kita sekiranya mereka menghadapi tuduhan. Apatah lagi jika ia masih diperingkat pertuduhan, belum lagi didapati bersalah,” ujarnya.– 19 Oktober, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Azis Yusoff · Ulasan