Umno mesti lihat masa depan selepas Zahid, kata penganalisis


Zaim Ibrahim

Umno yang kini menjadi parti pembangkang harus melihat survivalnya setelah Presiden Ahmad Zahid Hamidi dihadapkan ke mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2018.

UMNO mesti mula melihat masa depannya melampaui Ahmad Zahid Hamidi selepas presidennya itu dihadapkan dengan 45 pertuduhan jenayah di mahkamah semalam, kata penganalisis politik.

Umno perlu melaksanakan “pelan B” demi survival parti, daripada buang masa meneruskan bantahan atau himpunan sehingga hilang fokus mengukuhkan semula parti selepas kalah pilihan raya 9 Mei, kata mereka.

“Survival Umno bergantung pada legasi kepimpimpinan. Siapa pemimpin yang lebih berwibawa (untuk memimpin parti)? Apakah langkah seterusnya?” kata Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Universiti Utara Malaysia (UUM) kepada The Malaysian Insight.

Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir di UUM itu bagaimanapun cepat mengingatkan, pemimpin kanan Umno yang boleh menggantikan Zahid juga berdepan dengan masalah masing-masing.

“(Timbalan Presiden) Mohamad Hasan pun masih ada kes petisyen pilihan raya DUN Rantau,” katanya.

Semalam, Zahid dikenakan 45 tuduhan di mahkamah atas kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan duit yang keseluruhannya berjumlah lebih RM114 juta.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir di mahkamah semalam. Beliau berdepan 45 pertuduhan melibatkan kes rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2018.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan dan menganggapnya sebagai ujian Tuhan.

Mohamad dalam reaksinya semalam berkata Zahid mungkin perlu berehat daripada menjalankan tugas parti, selaras dengan peraturan parti. Perkara itu katanya akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi Umno.

Mohamad merujuk pada ketetapan Majlis Tertinggi Umno pada September 2009  bahawa semua ahli Umno yang menghadapi dakwaan di mahkamah akan digantung daripada jawatan parti serta-merta.

Namun Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman sebelum itu berkata Zahid – dan bekas presiden Umno, Najib Razak – tidak akan digantung jawatan parti, kerana Umno percaya tindakan terhadap mereka bermotifkan politik.

Beberapa pemimpin kanan Umno juga menganggap tindakan mahkamah terhadap Zahid bertujuan untuk terus melemahkan parti itu, yang pertama kali hilang kuasa sejak Merdeka.

Mereka serta keluarga Zahid cuba mengaitkan kes yang dihadapi presiden Umno itu sekarang dengan pemecatan Anwar Ibrahim dari kerajaan dan parti pada 1998 dan kemudian sabitan atas tuduhan salah guna kuasa dan liwat. Mereka menyifatkan kes terhadap Zahid bermotifkan politik.

Anak Zahid, Nurulhidayah dalam himpunan solidariti untuk ayahnya malam kelmarin bertanya di mana pejuang reformasi yang dulu lantang menentang kezaliman Dr Mahathir Mohamad pada 1998, apabila ayahnya kini “dizalimi” oleh kerajaan.

Isteri Zahid, Hamidah Khamis malam kelmarin juga mengumumkan rancangan pihaknya mengadakan siri jelajah ke seluruh negara untuk menangkis tuduhan yang dihadapi suaminya.

Aktivis reformasi 1998 dan penganalisis politik bagaimanapun melihat kes Zahid dan Anwar tidak boleh disamakan.

Mengaitkan kes Zahid dengan zaman Reformasi 1998 adalah tidak relevan kerana dua kes itu jauh berbeza, kata Dr Jeniri Amir dari Universiti Sarawak Malaysia (Unimas).

“Persepsi rakyat pada waktu itu adalah, Anwar menjadi mangsa politik kepada Dr Mahathir. Sedangkan sekarang, kes Zahid setakat ini adalah dakwaan salah guna kuasa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan (kanan) yang diharap menggantikan Presiden Ahmad Zahid Hamidi turut berdepan kes petisyen pilihan raya DUN Rantau. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2018.

Jeniri tidak membayangkan rakyat akan turun ke jalan raya mengadakan tunjuk perasaan kerana rakyat memang menunggu pemimpin-pemimpin Umno yang dikaitkan dengan skandal rasuah dan penyelewengan disiasat oleh pihak berkuasa.

“Kalau pun ada (tunjuk perasaan), hanya dalam kalangan Umno dan beberapa orang sahaja akan turun,” katanya, dan menambah tindakan anti rasuah kerajaan selari dengan janji Pakatan Harapan sebelum menang pilihan raya 9 Mei.

“Saya tidak fikir mereka boleh ulangi apa yang pernah dilakukan oleh Anwar,” tambahnya.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi pula berkata tindakan terhadap Zahid tidak mungkin bermotifkan politik sebaliknya salah laku yang selama ini tidak diketahui oleh rakyat.

“Susah Hamidah untuk dapat sokongan daripada parti pembangkang yang lain, kecuali PAS.

“Pembangkang lain pun macam MIC dan MCA tidak kuat macam pembangkang semasa zaman Anwar reformasi dulu,” katanya.

Aktivis reformasi 1998, Badaruddin Ismail, 78, pula melihat tiada apa-apa persamaan antara nasib Zahid sekarang dan Anwar dahulu.

“Kes terhadap Zahid ini bukan balas dendam,” katanya. – 20 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • orang dah cakap untuk pulihkan parti kesemua MT dulu bawah mangkok hayung pekan tu berundur bagi laluan muka baru, start fresh, yang lama tu masih amalkan politik wang dan ada kepentingan peribadi

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Teruna Kelana · Ulasan