Zahid didakwa 45 tuduhan libatkan RM114 juta


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berdepan 45 pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram mencecah RM114 juta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 Oktober, 2018.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini dikenakan 45 tuduhan di mahkamah atas pelbagai kesalahan melibatkan duit yang keseluruhannya berjumlah lebih RM114 juta.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan selepas satu persatu pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi.

Mahkamah membebaskan Zahid dengan ikat jamin RM2 juta dengan seorang penjamin. Mahkamah juga memerintahkan bekas timbalan perdana menteri itu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
 
Jaminan itu dibayar sebanyak RM1 juta hari ini manakala bakinya perlu diselesaikan sebelum atau pada 26 Oktober ini.
 
Pendakwaan dijalankan oleh bekas hakim Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai timbalan pendakwa raya kanan, dibantu lima timbalan pendakwa raya lain.
 
Zahid diwakili 12 peguam diketuai Hisyam Teh Poh Teik.
 
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Disember.

Berikut adalah ringkasan 45 pertuduhan terhadap Zahid:

Apakah kes yang didakwa terhadap Zahid?

10 tuduhan pecah amanah
8 tuduhan rasuah melibatkan lebih RM42 juta
27 tuduhan pengubahan wang haram lebih RM72 juta

Pecah amanah (10)

Bagi 10 tuduhan pecah amanah, Zahid didakwa menyeleweng wang berjumlah RM20.8 juta yang diamanahkan kepadanya sebagai pemegang amanah Yayasan Akalbudi.

Jenayah itu didakwa dilakukan di cawangan Affin Bank dekat Jalan Masjid India di Kuala Lumpur antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.
 
Sepuluh pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaaan. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara antara dua hingga 20 tahun penjara, sebatan dan denda.
 
Rasuah (8)

Zahid berdepan tiga tuduhan menerima suapan daripada Mastoro Kenny IT Consultant & Services untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek MyEG yang dikendalikan di bawah Kementerian Dalam Negeri.
 
Zahid adalah bekas Menteri Dalam Negeri dalam pentadbiran kerajaan yang lepas.
 
Tiga tuduhan itu masing-masing melibatkan suapan berjumlah RM250,000, RM8 juta dan RM5 juta. Keseluruhannya berjumlah RM13,250,000.
 
Zahid juga berdepan dua tuduhan menerima suapan daripada Data Sonic Group Berhad masing-masing RM5 juta dan RM1 juta sebagai upah melantik syarikat itu membekalkan cip untuk pasport Malaysia. 
 
Menurut pertuduhan di mahkamah, kontrak itu dibuat secara rundingan terus KDN kepada Data Sonic Technologies.
 
Suapan itu didakwa diberi pengarah urusan Data Sonic Group Berhad, Chew Ben Ben.
 
Tiga tuduhan rasuah berikutnya melibatkan Profound Radiance Sdn Bhd. Keseluruhan nilai suapan berjumlah RM2 juta yang didakwa diterima oleh Zahid daripada pengarah syarikat itu, Azlan Shah Affril.
 
Rasuah itu sebagai upah kepada Zahid melantik syarikat berkenaan sebagai pengendali perkhidmatan hentian setempat di Pakistan dan Nepal bagi KDN.
 
Semua 1o pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang hukumannya diperuntukkan di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.
 
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda suapan, atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.
 
Pengubahan wang haram (27)
 
Zahid didakwa 25 pertuduhan memasukkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah antara RM600,000 hingga RM9.35 juta, yang keseluruhannya berjumlah RM72 juta. Duit itu dimasukkan sebagai simpanan tetap ke dua akaun di Maybank milik sebuah firma guaman.
 
Bekas timbalan perdana menteri itu juga didakwa mengarahkan pembelian dua buah banglo di Kajang bernilai RM5.9 juta, yang merupakan hasil aktiviti haram.
 
Akhir sekali, Zahid didakwa menukarkan duit sebanyak RM6.8 juta hasil daripada aktiviti haram kepada 30 keping cek juga untuk dimasukkan sebagai simpanan tetap di Maybank.
 
Semua 27 pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. 

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai tuduhan atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi. – 19 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen