Pemansuhan hukuman mati untuk semua kesalahan, kata menteri


Zaim Ibrahim

Kita tidak boleh melakukannya dengan tidak sepenuh hati. Tidak boleh menghapuskan satu kesalahan dan tidak menghapuskannya untuk kesalahan yang lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Lui Vui Keong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2018.

WALAUPUN ada pihak yang mempertikai langkah memansuhkan hukuman mati mandatori, kerajaan perlu bertindak tegas menghapuskan hukuman itu untuk semua jenis kesalahan, kata Menteri Liew Vui Keong.

Menurutnya lagi, kerajaan juga menghormati perasaan keluarga mangsa yang terlibat dalam jenayah berat yang mana pesalahnya sudah dijatuhi hukuman mati tetapi penghapusan itu perlu dilakukan sepenuhnya.

“Saya memahami perasaan keluarga mangsa (kepada pesalah yang dihukum gantung), ia amat menyakitkan. 

“Kita tidak boleh melakukannya dengan tidak sepenuh hati. Tidak boleh menghapuskan satu kesalahan dan tidak menghapuskannya untuk kesalahan yang lain,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Reaksi Liew itu dikeluarkan susulan laporan bantahan pemansuhan hukuman mati oleh waris tiga beranak yang mati dibunuh di Wakaf Mek Zainab, Kelantan tahun lepas. 

Tambahnya, terdapat 18 jenis kesalahan yang boleh membawa hukumun mati mandatori.

Antaranya adalah serangan terhadap Yang di Pertuan Agong dan Raja, keganasan, mengedar dadah, pembunuhan mangsa ketika diculik, memiliki dan menggunakan senjata api serta merogol hingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.

Cadangan penghapusan hukuman mati mandatori itu mendapat reaksi pelbagai pihak yang menyokong dan menentang cadangan tersebut.

Awal hari ini, Liew dilaporkan berkata hukuman mati akan digantikan dengan penjara minimum 30 tahun dan rang undang-undang mengenainya akan dibentangkan di Parlimen selepas diluluskan Kabinet.

Isu ini mula timbul apabila kes Muhammad Lukman yang disabitkan bersalah kerana mengedar, memperoses dan memiliki ganja mendapat perhatian masyarakat. Kabinet bagaimanapun bersetuju untuk menangguhkan hukuman mati Lukman. 

Sehingga 11 Oktober lalu, terdapat 932 banduan yang berdepan hukuman mati mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya. 

Hukuman itu bagaimanapun tidak dilaksanakan sejak 2014 kerana tiada waran pelaksanaan hukuman dikeluarkan kepada Jabatan Penjara. – 15 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen