HUKUMAN mati mandatori akan digantikan dengan tempoh penjara minimum 30 tahun apabila pemansuhannya diluluskan Parlimen nanti, lapor media.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong dipetik berkata pada masa ini ada 18 kesalahan jenayah yang membawa hukuman mati mandatori, termasuk kesalahan mengedar dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya.
“Rang undang-undang pemansuhan hukuman mati ini akan dibentangkan di Parlimen selepas memorandum berkaitan diluluskan dalam Kabinet,” katanya, seperti dipetik BH.
Pada 10 Oktober lepas, Liew mengumumkan kerajaan menggantung pelaksanaan semua hukuman mati sementara menunggu peruntukan hukuman itu dimansuhkan oleh Parlimen.
Menurut Liew, sehingga 11 Oktober lalu, terdapat 932 banduan yang berdepan hukuman mati mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya.
Hukuman itu bagaimanapun tidak dilaksanakan sejak 2014 kerana tiada waran pelaksanaan hukuman dikeluarkan kepada Jabatan Penjara.
Liew turut dilaporkan meminta Lembaga Pengampunan menimbang menangguhkan hukuman mati ke atas banduan.
Selari dengan keputusan kerajaan menggantung hukuman mati, Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya baru-baru ini berkata, kerajaan juga akan membantu rakyat Malaysia yang berdepan hukuman mati bagi jenayah yang dilakukan di luar negara, terutamanya pengedaran dadah.
“Bagi kepentingan orang-orang ini (dalam tahanan di luar negara), kita akan berusaha membantu mereka melalui kedutaan di negara berkenaan. Kita akan berunding dengan negara-negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia,” katanya. – 15 Oktober, 2018.
Komen