Kabinet gantung hukuman mati kes minyak ganja Lukman


KABINET bersetuju menggantung pelaksanaan hukuman mati Muhammad Lukman, lapor akhbar The Star hari ini.

Akhbar itu memetik Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai berkata demikian ketika turut mengumumkan Kabinet juga bersetuju supaya pesakit yang menggunakan ganja perubatan (minyak ganja) tidak dikenakan tindakan undang-undang. 

Lukman disabitkan bersalah kerana memproses, memiliki dan mengedar ganja oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman mati kepadanya pada 30 Ogos lalu.

Lukman, 29, yang juga bapa kepada seorang anak ditahan pada Disember 2015 kerana memiliki 3.1 liter minyak ganja, 279 ganja padat dan 1.4 kg bahan mengandungi tetrahydrocannabinol (THC).

Beliau ditahan polis bersama isterinya yang ketika itu mengandung lima bulan yang kemudiannya dibebaskan dalam serbuan polis di rumah mereka.

Hukuman mati yang dijatuhkan kepadanya mencetuskan bantahan awam pelbagai pihak termasuklah Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar yang berkata akan menulis rayuan kepada peguam negara untuk mengampunkan Lukman.

Pada 19 September lalu pula, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata hukuman mati terhadap Lukman perlu disemak semula, sementara petisyen dalam talian mendesak pembebasannya sudah menerima 70,000 tandatangan setakat ini.

Bercakap kepada wartawan di Port Dickson hari ini, Syed Saddiq berkata beliau membangkitkan isu tersebut dalam mesyuarat Kabinet dan membincangkannya dengan Dr Mahathir.

“Konsensunya, kami bersetuju yang ia (hukuman mati) tidak wajar berlaku.

“Pada masa sama, kami juga bersetuju untuk meletakkan moratorium ke atas hukuman matinya (Lukman),” katanya dipetik berkata.

Apabila ditanya adakah ganja perubatan wajar dibenarkan menurut undang-undang, Syed Saddiq membalas “satu demi satu dahulu.” – 12 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen