JABATAN Peguam Negara (AGC) akan menentukan nasib Muhammad Lukman yang didapati bersalah kerana memproses, memiliki dan mengedar ganja untuk perubatan (minyak ganja), kata Dr Dzulkefly Ahmad.
Menteri kesihatan berkata kabinet sedia maklum mengenai isu itu dan akan membincangkan mengenai pengesahan ganja untuk perubatan.
“Kami bincangkan tentang pengesahan ganja untuk perubatan, kabinet sudah sedia maklum.
“Namun tiada keputusan lagi dibuat. Sila tunggu keputusan daripada kabinet.
“AGC akan memainkan peranan berhubung kes Lukman,” katanya di Kementerian Kesihatan hari ini.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan boleh mengkaji semula kes Lukman yang dijatuhi hukuman mati kerana membuat dan mengedarkan minyak ganja untuk perubatan.
Lukman ditangkap pada 2015 selepas polis menemui 2 kilogram ganja kering dan 260 gram ganja mampat di rumahnya.
Dia dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Ogos.
Dr Dzulkefly berkata mereka tidak semestinya bermaksud mahu meminda Akta Dadah Berbahaya 1952 yang telah dipinda pada 1980.
“Tetapi bagi kes ini dia perlu melalui Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.”
Menurut beliau, perkara lain berkaitan ganja yang dibincangkan di Kabinet ialah membenarkan penggunaannya dalam penyelidikan klinikal.
“Jika digunakan bagi tujuan penyelidikan klinikal, saya sokong ia dibenarkan.
“Bagaimanapun, ganja masih terletak di bawah Akta Dadah Berbahaya, jadi sesiapa yang didapati bersalah adalah tertakluk di bawah undang-undang.” – 19 September, 2018
Komen