MASIH tidak diketahui jumlah pertuduhan yang akan dihadapi Rosmah Mansor esok, kata peguamnya K Kumaraendran ketika khabar angin bertiup kencang isteri bekas perdana menteri itu bakal berdepan hingga 20 pertuduhan.
“Kami masih tak dimaklumkan berapa banyak pertuduhan. Dan kami juga belum dimaklumkan jenis pertuduhan. Kami hanya tahu esok di mahkamah,” katanya di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya selepas anak guamnya ditahan.
Tambahnya, beliau juga tidak mengetahui sama ada pertuduhan itu berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Kami tak dimaklumkan dan kerana itu tak boleh beritahu apa-apa.”
Kumaraendran berkata Rosmah,66, ditahan selepas habis memberi keterangan pada jam 3.20 petang tadi.
“Awak perlu tanya dia sendiri,” katanya apabila ditanya situasi Rosmah ketika ditahan.
Kumaraendran dan seorang lagi peguam Rosmah Geethan Ram Vincent juga berkata mereka tidak tahu di mana Rosmah akan berada malam ini.
“Itu awak kena tanya SPRM. Kami hanya tahu dia akan didakwa di mahkamah KL esok.”
Rosmah tiba di pejabat SPRM pada jam 10.40 pagi hari ini untuk pusingan ketiga soal siasat.
Selepas lebih empat jam disoal siasat, beliau ditahan pada jam 3.20 petang.
SPRM dalam kenyataan petang tadi berkata Rosmah akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 8 pagi esok.
Agensi anti rasuah itu bagaimanapun tidak mendedahkan jenis pertuduhan kepadanya.
Suaminya, Najib Razak pula sehingga kini sudah berdepan 32 pertuduhan berhubung skandal 1MDB. Pada 20 September lepas, Najib berdepan 21 pertuduhan melibatkan derma “RM2.6 bilion” yang masuk ke akaun peribadinya.
Selain itu, Najib juga berdepan empat pertuduhan melibatkan penubuhan dan aktiviti 1MDB. Beliau sebelum itu sudah dikenakan tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta yang didakwa diseleweng daripada dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, melibatkan kes pecah amanah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram. Kes akan dibicarakan Februari tahun depan. – 3 Oktober, 2018.
Komen