APABILA Tengku Adnan Tengku Mansor memulakan usaha mendapatkan semula harta Umno, satu masalah yang akan beliau hadapi ialah mengesan penama yang memegang aset-aset itu kerana kebanyakannya tidak diserahkan kepada mereka dengan perjanjian hitam putih.
Aset-aset dalam bentuk tanah, bangunan serta saham syarikat itu hanya diketahui oleh individu yang betul-betul rapat dengan presiden Umno, yang memegang jawatan sekarang atau sebelum ini, kata sumber pimpinan kanan parti.
Ini kerana setiap kali berganti presiden, pemegang amanah harta-harta Umno itu juga akan ditukar, kata seorang pemimpin Umno di ibu pejabat parti.
“Kita semua hilang punca. Hal ini terjadi berpuluh tahun dulu apabila setiap kali presiden bertukar dan setiap itu mereka akan tukar nama pemegang amanah.
“Lebih malang lagi,apabila tiada hitam putih,” kata seorang ahli Majlis Tertinggi kepada The Malaysian Insight.
Sumber yang juga bekas menteri dalam pentadbiran Najib Razak mendakwa amalan menyerahkan aset parti kepada penama dibuat semasa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menerajui Umno.

Seorang lagi pemimpin kanan Umno berkata hanya beberapa individu saja yang ada maklumat mengenai pemegang amanah harta milik parti.
“Itu memang kena rujuk pada bendahari. Kita walaupun dah lama tapi tidak ada maklumat. Kita memang tahu ada aset seperti syarikat-syarikat dan bangunan serta tanah. Ia juga termasuk syarikat yang disenarai di bursa,” kata sumber itu yang juga bekas menteri besar.
Dr Mahathir adalah presiden Umno antara 1981 hingga 2003, yang paling lama dalam sejarah parti berusia 72 tahun itu. Umno kemudian dipimpin oleh Abdullah Ahmad Badawi selama enam tahun sehingga 2009, sebelum diambil alih oleh Najib Razak.
Najib letak jawatan tiga hari selepas gagal mempertahankan kerajaan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu. Umno kemudian memilih Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden baru melalui pemilihan parti pada Jun lepas.
Dalam ucapan penangguhannya menutup Perhimpunan Agung Umno 2018 kelmarin, Zahid mengumumkan Umno akan mendapatkan semula semua asetnya daripada pihak yang memegang amanah untuk dikembalikan kepada parti.
Zahid mengumumkan melantik Tengku Adnan yang juga bendahari Umno untuk mendapatkan semula semua aset itu. Tengku Adnan adalah juga pengerusi jawatankuasa kewangan, aset dan pelaburan Umno.
“Umno akan mengambil tindakan undang-undang untuk memperoleh balik aset-aset itu. Trustee adalah pemegang amanah, kita tidak mahu orang yang tidak amanah memegang amanah bagi pihak kita. Umno menuntut balik segala-galanya,” kata Zahid dalam ucapannya kelmarin.

Zahid bagaimanapun tidak menyatakan nilai atau bentuk aset yang dimaksudkan, cuma membayangkan keseluruhan harta Umno bukanlah bernilai sampai berbilion ringgit seperti yang dihebohkan selama ini.
Beliau juga enggan mengulas lanjut ketika diajukan pertanyaan mengenainya oleh The Malaysian Insight.
“Saya sudah serahkan kepada Ku Nan, dia akan uruskan semuanya,” katanya.
The Malaysian Insight masih menunggu maklum balas daripada Tengku Adnan mengenai jenis harta yang sedang beliau cari serta anggaran nilainya.
Jun lalu, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang juga bekas bendahari Umno berkata parti itu mempunyai aset di kawasan utama seluruh negara.
Katanya, hartanah itu yang dibeli pada 1960-an kini tentulah sudah bernilai berbilion ringgit yang boleh dijual untuk membiayai aktiviti parti.
Isu harta milik Umno ini juga dibangkitkan oleh beberapa perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno 2018. Mereka mendesak agar Umno tidak lagi menyerahkan urusan aset itu kepada pemegang amanah yang didakwa “lari” selepas parti berdepan masalah.

Selepas kalah pilihan raya umum 9 Mei, Umno menghentikan bantuan peruntukan kepada bahagian-bahagian setelah “meneliti kedudukan kewangan parti”.
Selain tidak lagi jadi sebahagian daripada kerajaan, Umno juga berdepan masalah kewangan selepas akaun miliknya dibekukan oleh pihak berkuasa untuk membantu siasatan berhubung skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Umno diketahui memiliki pegangan saham dalam beberapa syarikat termasuk yang disenarai di Bursa Malaysia.
Antaranya pegangan langsung 7.96% saham dalam Media Prima Berhad melalui Altima Inc.
Ia juga pernah memegang saham dalam konglomerat media itu melalui Gabungan Kesturi, syarikat yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Amanah Raya Berhad, yang seterusnya dimiliki pula sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.
Umno juga menguasai kepentingan majoriti 49.77% dalam Kumpulan Utusan Melayu Berhad, syarikat media cetak yang menerbitkan Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo!.
Putrade Property Management Sdn Bhd juga adalah sebuah lagi syarikat milik Umno yang bertanggungjawab menguruskan Putra World Trade Centre dan Menara Dato Onn yang menempatkan ibu pejabat parti itu.
KUB Malaysia Bhd, sebuah syarikat yang berkecimpung dalam bidang maklumat, komunikasi dan teknologi, hartanah, kejuruteraan dan pembinaan serta industri makanan, juga antara syarikat yang dimiliki oleh Umno. – 2 Oktober, 2018.
Komen