UMNO perlu menguruskan sendiri semua syarikat milik parti dan tidak lagi menyerahkan urusan itu kepada pihak lain sebagai proksi, kata seorang perwakilan ke perhimpunan agung parti itu.
Wakil Kedah, Noran Zamini Jamaluddin membangkitkan cadangan itu selepas menyuarakan keluhan kenapa Umno yang banyak aset, yang terkumpul selepas memerintah enam dekad, berdepan masalah kewangan apabila tidak jadi kerajaan dan akaun parti dibekukan.
Katanya, dengan aset yang banyak itu tidak munasabah Umno menghentikan peruntukan kepada bahagian-bahagian seperti sekarang. Beliau bagaimanapun tidak menyenarai aset-aset Umno itu.
“Teruk rasa kalah ini, kita masih boleh terima. Tetapi 60 tahun Umno perintah, baru seminggu kalah bahagian sudah dapat surat peruntukan diberhentikan
“Betullah akaun parti dibekukan tetapi dulu kita dengar macam-macam syarikat itu ini… kita ada saham Umno, ke mana pergi syarikat-syarikat itu? Proksi-proksi lari pergi mana?” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno hari ini.
Beliau meminta sekiranya Umno kembali berkuasa, semua harta dan sumbangan politik itu tidak lagi diserahkan untuk diurus oleh proksi.
“Kalau boleh apa jua jenis derma, bantuan, sumbangan politik, biarlah parti yang menguruskan,” tambahnya.
Dalam pemukiman Umno di Janda Baik sebelum ini, Presiden parti Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Umno akan menstruktur semula syarikat-syarikat milik parti secepat mungkin bagi mengatasi masalah kewangan yang semakin kritikal.

Zahid bagaimanapun tidak menyatakan jumlah atau nama-nama syarikat yang terlibat kerana pegangan kepentingan Umno dalam syarikat diwakili oleh penama yang ditunjukkan untuk mengurus syarikat-syarikat tersebut.
Umno diketahui mempunyai pegangan saham dalam syarikat media, yang semasa pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini, condong kepada kerajaan.
Umno memegang secara langsung 7.96% saham dalam Media Prima Berhad melalui Altima Inc. Ia juga memegang saham melalui Gabungan Kesturi, syarikat yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Amanah Raya Berhad, yang seterusnya dimiliki pula sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.
Umno juga menguasai kepentingan majoriti 49.77% dalam Kumpulan Utusan Melayu Berhad, syarikat media cetak yang menerbitkan Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo!.
Sejak kebelakangan ini ada gesaan supaya Umno melepaskan kepentingan dalam Utusan Melayu selepas syarikat berdepan krisis kewangan sehingga dua bulan berturut-turut terlewat membayar gaji pekerjanya.
Umno baru-baru ini melantik bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Abd Aziz Sheikh Fadzir sebagai Pengerusi Eksekutif, berkuat kuasa serta-merta pada 7 Jun lalu.
Sementara itu, syarikat milik Umno, Putrade Property Management Sdn Bhd pula bertanggunjawab menguruskan Putra World Trade Centre dan Menara Dato Onn yang menempatkan ibu pejabat Umno.
KUB Malaysia Bhd, sebuah syarikat yang berkecimpung dalam bidang maklumat, komunikasi dan teknologi, hartanah, kejuruteraan dan pembinaan serta industri makanan, juga antara syarikat yang dimiliki oleh Umno. – 30 September, 2018
Komen