Perjuangan membanteras penyalahgunaan dadah


Nazir Sufari

TINJAUAN Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati 300,000 individu dewasa di negara ini pernah menggunakan dadah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Daripada jumlah itu, seramai 100,000 orang masih menggunakan dadah.

Penyalahgunaan dadah paling tinggi dalam kalangan penduduk luar bandar, golongan berpendapatan rendah dan lelaki, menurut tinjauan tersebut. Juga dinyatakan bahawa majoriti penagih dadah bermula dengan ganja, dan mereka mula menggunakan dadah antara usia 18-24 tahun.

Persatuan Insaf Murni Malaysia (Insaf Murni) ialah sebuah kumpulan masyarakat sivil yang ditubuhkan pada 2006, dengan objektif untuk membantu membasmi penyalahgunaan dadah hingga ke akar umbi dan membawa bekas pengguna dadah ke arah kehidupan yang lebih baik dan berkualiti, serta menerapkan nilai-nilai agama dan kerohanian dalam jiwa mereka.

Insaf Murni mempunyai 32 petugas, dan 15 daripada mereka adalah bekas pengguna dadah yang telah pulih sepenuhnya. Persatuan ini dibantu dua doktor hospital kerajaan serta disokong oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis AIDS Malaysia (MAM).

Petugas Insaf Murni dilatih oleh MAM dan diberi kad pekerja kesihatan KKM. Ibu pejabat Insaf Murni terletak di Kajang, Selangor, dengan dua cawangan yang diberi nama “Kabin Harapan” di Kuala Lumpur dan Pandamaran di Klang.

Objektif utama Insaf Murni adalah menggalakkan pengguna dadah menggunakan metadon bagi mengurang dan mencegah penyalahgunaan dadah. Dr Khafidz berkata kliniknya di Kajang merawat pengguna dadah menggunakan metadon sejak 2000 lagi.

Program Penggantian Metadon yang dijalankan Insaf Murni mendapat kerjasama erat pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), selain KKM dan MAM. Selain itu, Insaf Murni juga menjalankan Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan (NSEP).

Menurut Dr Khafidz, melalui program ini pengguna dadah boleh mendapatkan rawatan metadon dengan hanya RM5 sehari, berbanding RM60 hingga RM100 sehari jika mengambil dadah seperti heroin.

Beliau bagaimanapun bimbang dengan kemunculan dadah sintetik seperti syabu dan ekstasi, yang tidak boleh dirawat dengan metadon. Kes penyalahgunaan dadah jenis sintetik ini semakin meningkat, terutamanya dalam kalangan remaja. – 1 Jun 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen