Asal buluh menjadi lemang


Nazir Sufari

LEMANG adalah makanan yang disukai ramai dan merupakan antara juadah yang cukup sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia.

Sedap dimakan bersama rendang ayam atau daging mahupun kuah kacang, lemang dimasak menggunakan beras pulut, santan dan disalut dengan daun pisang yang diisi di dalam batang buluh.

Lemang dimasak di dalam batang buluh yang dikenali sebagi Buluh nipis, padi, urat, rusa atau Pelang.

Bagi Arman Bakhtiar,49, dan dua rakannya di Hulu Langat, Selangor, ketibaan Ramadan merupakan bulan yang sibuk untuk mencari buluh lemang. 

Pencarian buluh dimulakan seawal hari kedua Ramadan, kata Arman.

“Tempahan boleh mencecah sekitar 3,000 hingga 4,000 batang seminggu. Awal-awal puasa kita cari di pinggir hutan, tetapi makin nak dekat raya kita terpaksa masuk jauh ke dalam hutan,” ujarnya.

Pelanggan mereka datang dari sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. 

Arman berkata permintaan terhadap buluh lemang tinggi tahun ini susulan kerajaan membenarkan balik kampung sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, sepanjang 20 tahun pengalamannya harga buluh lemang tidak berubah antara RM1 hingga RM1.20 sebatang. – 29 April, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen