Rezeki sungai Nenek Tina


Nazir Sufari

LANGIT kian mendung, namun ia tidak menghalang Nenek Tina atau nama sebenarnya Tina Binti Tom, dalam usia 60-an keluar untuk mencari ketam, ikan, lokan, kijing atau udang di Sungai Danga di Johor Bahru untuk meneruskan hidup. 

Nenek Tina adalah dari suku Seletar atau OIrang Seletar yang merupakan salah satu daripada 18 kumpulan etnik Orang Asli di Malaysia. Orang Seletar juga merupakan sebahagian daripada Orang Laut di Selat Johor, yang memisahkan Singapura dengan Semenanjung Malaysia. 

Nenek Tina akan keluar sama ada dengan berjalan kaki atau menaiki bot. Beliau akan berjalan dua hingg tiga kilometer dan ditemani anak perempuan serta cucunya ke tebing sungai. Adakalanya beliau dan cucu lelakinya akan mendayung sampan ke kawasan hutan paya bakau di Sungai Danga yang mengalir dari kampungnya. Walaupun tidak mampu untuk membeli enjin bot, beliau enggan memohon bantuan daripada mana-mana pihak.

Sekiranya bernasib baik, beliau mampu meraih pendapatan kira-kira RM50 hingga RM80 namun adakalanya kurang. Nenek Tina juga terpaksa berkongsi wang itu dengan anak perempuannya yang turut membantu. 

Selepas suaminya jatuh sakit dan tidak dapat bekerja, beliau mengambil alih tanggungjawab menjaga keluarga termasuk 7 orang cucunya yang menjadi yatim piatu selepas kematian ibu bapa mereka beberapa tahun lalu. Anak perempuan Nenek Tina dan suaminya meninggal dunia kerana jangkitan paru-paru.

Beliau mempunyai 7 orang anak tetapi 3 daripada mereka meninggal dunia.

Nenek Tina tinggal di Kampung Orang Asli Bakar Batu di Perling, Johor. Salah satu perkampungan Orang Seletar yang telah diwartakan oleh kerajaan.

Dari raut wajahnya menunjukkan beliau jauh lebih berusia. Sukar hidup nenek ini untuk menjaga 7 orang cucu yang kehilangan ibu bapa.

Empat minggu lalu, tragedi menimpa anjing kesayangannya ketika berenang bersama cucunya di Sungai Danga. Tiba-tiba anjingnya mula menyalak dan ketika beliau dan anak-anaknya berpaling, mereka melihat seekor buaya menyambar anjing itu. Mereka segera berenang dan naik semula ke tebing dan berlari pulang ke kampung. Mereka bernasib baik.

Suku Orang Seletar atau Orang Laut di Kampung Bakar Batu Perling sukar menyesuaikan diri dengan kemajuan dan pembangunan yang berlaku di Iskandar Malaysia. Anak-anak Seletar atau generasi masa depan mereka akan menghadapi situasi yang sukar jika tidak bersedia.

Pada tahun 1960-an, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli menempatkan mereka secara tetap di kampung-kampung yang disediakan khas untuk mereka. – 30 November 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen