Telefon awam: Masih relevan di abad ke-21?


Nazir Sufari

PADA suatu ketika, telefon awam lebih mudah didapati berbanding peti surat. Ianya terdapat di mana mana sahaja di sepanjang jalan, sama ada di bandar mahupun di kampung. Bagaimanapun, di era ini, di mana hampir kesemua orang mempunyai telefon bimbit, telefon awam dilihat semakin berkurangan. Namun, masih terdapat syarikat yang masih menjalankan operasi telefon awam. Pernec mempunyai lebih daripada 35,000 telefon awam seluruh Malaysia terutama di kawasan luar bandar di mana isyarat telefon bimbit sangat terhad dan kabel telefon di atas tiang masih diperlukan untuk menghubungkan masyarakat ke bandar yang terdekat.

Terdapat masa masa tertentu di mana telefon awam masih diperlukan meskipun penggunaan telefon bimbit sangat meluas. Abdul Jalil Hamid, Seorang ahli perniagaan dari Semenyih berkata beliau mengalami pengalaman buruk mencari telefon awam semasa satu situasi kecemasan baru baru ini. “Motosikal saya rosak di Kajang pada lewat malam bulan lepas dan telefon pintar saya kehabisan bateri. Saya mahu menelefon kawan saya menggunakan telefon awam tetapi malangnya telefon awam yang ada rosak,” kata lelaki berusia 42 tahun itu.

Telefon bimbit atau telefon pintar mungkin mendominasi gelombang udara pada zaman kini dan menyebabkan telefon awam semakin dilupakan namun masih ada yang berpendapat telefon awam masih diperlukan dan memainkan peranan yang penting ketika situasi kecemasan. Tetapi, sejumlah kecil telefon awam yang masih terdapat di Malaysia sudah tidak dapat digunakan dan sangat usang, menanti hari untuk dihapuskan. Dan sebahagian yang masih lagi berfungsi di sudut jalan Kuala Lumpur hanyalah menjadi tanda tanya bagi kanak-kanak abad ke-21. – 31 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen