DUA hari lagi, umat Islam akan menyambut Aidilfitri. Di Chow Kit, warga kota masih memenuhi bazar Ramadan untuk persiapan hari kebesaran selepas sebulan berpuasa.
Chow Kit cukup terkenal sebagai pusat perniagaan Kuala Lumpur. Dari pasar basah hinggalah ke pasar malam, sepanjang jalan di Chow Kit sibuk dengan bermacam jenis perniagaan.
Rakyat Malaysia dari Perlis sampailah ke Sabah dan Sarawak, datang ke Kuala Lumpur mencari peluang pekerjaan. Ramai ke Chow Kit untuk memulakan hidup baharu. Ada yang bernasib baik, ada juga yang tak seindah diimpikan.
Terutamanya bagi golongan ibu yang terpaksa berhimpit dengan keluarga mereka dalam bilik kecil atau rumah usang di sekitar Chow Kit. Dengan kadar sewa bagi sebuah bilik di Chow Kit antara RM400 hingga RM500 sebulan, mereka tidak mempunyai banyak pilihan.
Ibu-ibu ini ada antaranya ditinggalkan suami dengan anak-anak yang masih kecil. Ada pula tinggal dengan suami berpendapatan hanya RM1,100 sebulan. Mereka tidak mampu untuk menyewa kediaman lebih selesa, apatah lagi membeli rumah.
Dengan baki RM700 hingga RM800 selepas ditolak sewa, sudah pasti menyukarkan hidup di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Mujurlah, Baitulmal memberi bantuan bulanan sebanyak RM300.
Dokumentari foto ini adalah mengenai kepayahan golongan ibu bergelut dengan kemiskinan di Chow Kit.
Sama ada mereka ini ibu tunggal atau tinggal bersama suami berpendapatan rendah, semuanya berkongsi kerisauan yang sama - memikirkan apakah yang hendak disuap ke mulut anak esok hari.
Bantuan seperti makanan, susu tepung, lampin pakai buang dan barangan peribadi yang dihulurkan oleh kumpulan-kumpulan NGO sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung.
Menjelang Aidilfitri, banyak kumpulan dan syarikat korporat menghulurkan sumbangan makanan dan pakaian untuk anak mereka. Ada antara mereka yang sudah tujuh tahun tidak pulang ke kampung. Di saat keluarga lain gembira menyambut Aidilfitri bersama sanak-saudara, golongan ini hanya duduk di dalam bilik atau berjumpa rakan di sekitar jalan Chow Kit.
Paling menyedihkan, ada juga ibu-ibu yang hidup sebagai gelandangan. – 3 Jun, 2019.
Sebuah gerai menjual lampu hiasan di Chow Kit, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Jun, 2019.Para ibu dan anak-anak mereka pada sambutan majlis hari jadi anjuran sebuah kumulan masyarakat di Chow Kit, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Jun, 2019.Siti Mizahida Misnan, 32, berasal dari Kulai, Johor. Kelihatan Siti sedang menyidai pakaian di dalam bilik yang disewa sebanyak RM500 sebulan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Jun, 2019.Siti Mizahida Misnan bersama anaknya di dalam bilik sewa berkeluasan 15m x 15m. Siti mempunyai enam anak, dua dipelihara oleh makciknya di Johor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Jun, 2019.Siti Mizahida Misnan bergurau dengan anaknya sementara menunggu suaminya yang bekerja di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur pulang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Jun, 2019.Shahiza Nur Ahmad, 24, berketurunan Rohingya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah. Suaminya, warga Malaysia, ditipu saudara dalam perniagaan beberapa tahun lalu. Shahiza Nur dan suaminya kini bekerja sebagai tukang bersih rumah inap. Mereka tinggal di bilik di Chow Kit dengan bayaran sewa RM500 sebulan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Jun, 2019.Shahiza Nur Ahmad membersih dan mengemas sebuah rumah inap di Kuala Lumpur bersama suaminya. Mereka diberi upah RM20 seorang bagi setiap rumah inap. Setiap bulan mereka peroleh pendapatan sebanyak RM1,000 hingga RM1,300. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Jun, 2019.
Analina Mansor, 28, dari Kota Kinabalu, Sabah. Analina datang ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja untuk membantu keluarganya di kampung. Suaminya bekerja sebagai buruh binaan dengan upah RM40 sehari. Mereka mempunyai dua orang anak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Jun, 2019.
Analina sedang menidurkan anaknya. Suaminya yang bekerja di luar Kuala Lumpur hanya pulang dua kali sebulan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Jun, 2019.Analina berkongsi dapur dan tandas dengan penyewa lain yang kebanyakannya pekerja asing Myanmar dan Bangladesh. Ibu muda ini tidak takut dengan jirannya yang disifatkan sebagai orang yang baik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Jun, 2019.Halimatun Saadiah, 30, ibu empat anak berasal dari Kuala Lumpur. Dia menyewa di sebuah rumah papan di Kampung Baru, tidak jauh dari Chow Kit. Suaminya bekerja sebagai pembantu kedai di Chow Kit dan memperolehi pendapatan RM1,150 sebulan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Jun, 2019.Halimatun Saadiah bersama anak-anaknya di rumah yang disewa sebanyak RM500 sebulan. Dia menerima bantuan RM200 sebulan dari Baitulmal. Halimatun Saadiah sebelum ini membantu suaminya dengan menjual kuih tetapi terpaksa berhenti untuk menjaga anak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Jun, 2019.Halimatun Saadiah memerhatikan anak-anaknya mencuba baju raya yang disumbangkan oleh kumpulan masyarakat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Jun, 2019.
Anak-anak Halimatun Saadiah bergaya dengan baju raya di hadapan rumah mereka di Kampung Baru, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Jun, 2019.
Komen