SEJAK China mengharamkan import sisa plastik pada 2017, Malaysia menjadi salah sebuah negara pengimport sisa plastik terbesar dunia, menerima ratusan ribu tan sampah setiap tahun.
Dan sebuah pekan kecil bernama Jenjarom terpaksa membayar harga besar pencemaran alam sekitar demi keuntungan sesetengah pihak.
Pekan yang bergelar rumah kepada 30,000 orang itu, terletak hampir 20km dari Pelabuhan Klang, adalah tapak pelupusan utama sisa plastik yang tiba di pelabuhan utama negara itu.
Pada Januari hingga Julai tahun lepas sahaja, Malaysia menerima 745,000 tan sisa plastik, kebanyakkannya dari UK, Jerman, Jepun dan Australia, menurut laporan Greepeace.
Tidak semua jenis plastik boleh dikitar semula. Tetapi, kos mengendali sisa tidak boleh dikitar semula yang tinggi membuatkan kilang sisa haram mengambil jalan mudah dengan membakar sisa diterima, membebaskan gas beracun yang mengancam keselamatan awam.
Kajian mendapati, pendedahan berterusan kepada gas terhasil daripada pembakaran sisa plastik boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan merosakkan sistem saraf badan manusia.
Selepas kerajaan menutup 33 kilang haram di Jenjarom, pembakaran itu tidak lagi berlaku. Tetapi, sisa seberat 17,000 tan yang berbaki masih menimbun menjadikan pekan kecil itu tak ubah seperti bandar pelupusan sisa.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata terdapat beberapa kaedah untuk melupuskan sisa yang masih berbaki itu, antara yang paling mudah adalah menghantarnya ke kilang simen untuk dijadikan bahan bakar pembakar.
Tetapi, kos pengangkutannya menelan belanja RM2.5 juta, dan tidak terkejut, tiada pihak tampil mahu melakukannya.
Menurut Yeo lagi, sejak Januari lalu, 139 kilang sisa plastik haram di seluruh Malaysia sudah ditutup.
Pada masa sekarang, Malaysia hanya membenarkan import sisa plastik bersih yang boleh dikitar semula menjadi resin, dan hanya 19 daripada 114 pemegang lesen bertauliah memenuhi syarat mengimport sisa jenis ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin. – 21 Mac, 2019.
Penduduk yang jadi aktivis Pua Lay Peng melihat longgokan sisa plastik di sebuah kilang haram di Jenjarom, Kuala Langat. Katanya, kilang tersebut antara kilang yang mengaut keuntungan dengan menggadaikan kesihatan penduduk dan alam sekitar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Mac, 2019.Sisa plastik tak boleh dikitar semula di pusat pelupusan haram di Jenjarom tidak dilupuskan dengan cara betul, kerana hanya mahu mengaut untung, ia dibakar menyebabkan pembebasan gas beracun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Mac, 2019.Timbunan sisa plastik dalam kawasan sebuah kilang pelupusan haram di Jenjarom, Kuala Langat, hampir 20km dari Pelabuhan Klang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Mac, 2019.Walaupun kerajaan sudah menutup 33 kilang haram di Jenjarom, beribu tan sisa plastik masih bertimbun, mengubah pekan kecil itu menjadi sebuah bandar sisa sampah sarap. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Mac, 2019.Pada Januari hingga Julai tahun lepas sahaja, Malaysia menerima 745,000 tan sisa plastik, kebanyakannya dari Jerman, UK, Jepun dan Australia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Mac, 2019.Kerajaan berkata hanya plastik boleh dikitar semula kepada resin boleh diimport, tetapi ia tidak menghalang kilang kitar semula haram tumbuh bak cendawan selepas hujan di seluruh negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Mac, 2019.Timbunan plastik ditinggalkan apabila kilang pelupusan haram ditutup di Jenjarom, Kuala Langat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Mac, 2019.Wakil kumpulan alam sekitar memeriksa kilang pelupusan haram yang terbiar di Jenjarom, Selangor. Menurut mereka, pemilik kilang walaupun sudah menutup kilangnya di pekan itu tetapi memindahkan operasinya ke tempat lain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Mac, 2019.Kehidupan diteruskan di Jenjarom, Kuala Langat yang berpopulasi 30,000 orang, walaupun pencemaran yang disebabkan kilang pelupusan haram mewujudkan risiko kesihatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Mac, 2019.Seorang lelaki bekerja di sebuah ladang nenas di Jenjarom, Kuala Langat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Mac, 2019.Penduduk Jenjarom bernafas lebih mudah sekarang selepas banyak kilang pelupusan haram ditutup. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Mac, 2019.Kebanyakan sisa plastik import tiba melalui Pelabuhan Klang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Mac, 2019.Motosikal adalah pilihan pengangkutan yang digunakan ramai penduduk Jenjarom, Kuala Langat terutama udara kini tidak lagi tercemar dengan kegiatan haram kilang pelupusan plastik membebaskan gas beracun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Mac, 2019.
Komen