Gejala lompat parti


Awang Azman Awang Pawi

DUA bekas menteri kanan Umno, iaitu Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman keluar meninggal parti itu ketika Umno tidak lagi menjadi parti pemerintah.

Ia menunjukkan betapa rapuhnya Umno dan gejala lompat parti terus berlaku dalam politik negara.

Setelah 40 tahun berkhidmat dalam parti dan mendapat jawatan, kuasa dan gelaran serta hidup dalam serba berkemampuan ketika itu, apabila Umno rebah terus menuduh Umno tidak selari dengan perjuangan.

Yang anehnya, ketika Umno berada di puncak kuasa, masing-masing tidak pernah mempertikaikan perjuangan parti yang banyak memberikan kemewahan dan kemakmuran kepada mereka.

Bak kata peribahasa, pokok tumbang, kura-kura pun dapat panjat. Hal ini menyebabkan Umno hanya tinggal 49 wakil di Dewan Rakyat.

Malah, spekulasi bertiup kencang ada 18 ahli Parlimen dijangka akan keluar, kononnya akan menyertai parti Bersatu.

Timbul juga spekulasi kononnya, ahli Parlimen Umno berbaki akan membentuk Pakatan Malaysia bersama-sama 25 ahli Parlimen PKR yang menyokong Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri kelapan.

Pakatan ini kononnya terdiri daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), PAS, MIC, MCA, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Bebas yang dikatakan membentuk 118 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Isu ini muncul apabila Khaled Nordin bercakap tentang sebuah gabungan baru dikenali sebagai Pakatan Malaysia.

Gejala lompat parti

Dengan pelbagai spekulasi ini, tidak mustahil memang ada wakil rakyat yang akan lompat parti. Kelompok ini berada di zon bersiap sedia untuk mengumumkan keluar dari parti dan kononnya akan menjadi wakil rakyat bebas.

Sudah pasti, itu bukanlah motif utama mereka. Mereka sedang menunggu peluang dan tawaran dari pihak parti pemerintah untuk ditawarkan tempat dalam parti dan ditawarkan jawatan dalam Kabinet atau sekurang-kurangnya kedudukan dalam GLC.

Sudah pasti, peluang dan kepentingan perniagaan sebagaimana dalam gejala politik Umno terdahulu dapat dilanjutkan dengan versi baharu parti mereka.

Sekiranya ini berlaku, inilah yang dikatakan gejala politik cari makan, yang terserlah apabila ada yang sanggup meninggalkan parti, tidak berprinsip, tidak kuat berpendirian, rapuh kesetiaan dalam berpolitik dan sanggup menjadi lalang politik.

Selama ini tidak pernah teruji atau berasa susah dalam politik kerana parti mereka sebelum ini merupakan parti kerajaan. Daya tahan mereka juga lemah  berdepan situasi politik baharu.

Di Perak, lompat parti pernah berlaku. Selepas tidak berlaku apa yang dikatakan pertukaran kerajaan pada 16 September 2008 – kononnya Pakatan Rakyat akan menggantikan Barisan Nasional (BN) – berlaku tindak balas di Perak beberapa bulan kemudian pada 2009 apabila tiga Adun PKR dan seorang Adun DAP mengumumkan keluar parti.

Ini menyebabkan krisis politik berpanjangan hingga menyebabkan campur tangan Istana. Akhirnya, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak tumbang dan BN berkuasa dengan majoriti mudah di Perak.

Di Kelantan, politik lompat bukanlah asing. Dalam pilihan raya umum 1959, PAS memenangi 13 kerusi, Umno dalam Perikatan hanya memenangi tujuh kerusi, Parti Negara pula memperoleh empat kerusi.

Akhirnya tiga Adun daripada PAS lompat parti. Tiga Adun Parti Negara juga melompat parti dan ini  menyebabkan kerajaan Terengganu dan Kelantan jatuh ke tangan BN.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas Ibrahim Ali dikenali sebagai “katak” atau “raja lompat” kerana pernah bersama Umno, menyertai Parti Semangat 46, kemudian bertanding tiket PAS dan menjadi wakil bebas.

Kini Mohamad Taib Mohamad, Zaid Ibrahim, Mohamad Ezam Mohd Noor turut serta dalam senarai sebagai “katak politik” apabila sering melompat parti.

Di Sabah pula, Parti Bersatu Sabah (PBS) mengumumkan keluar daripada BN beberapa hari sebelum pilihan raya umum 1990 dan membentuk Gagasan Rakyat. 

Hal ini menyebabkan BN Sabah kalah dan PBS membentuk kerajaan apabila menang 36 daripada 48 kerusi.

Politik lompat menyebabkan tindak balas daripada BN. Datu Mustapha Harun menjemput Dr Mahathir Mohamad membawa Umno ke Sabah dan gejala politik lompat terus membiak subur di Sabah.

Pada 1994,  PBS mendominasi kerusi dengan mempunyai 35 kerusi manakala BN hanya memperoleh 23 kerusi.

Walaupun PBS menang namun gejala politik lompat ini menyebabkan kerajaan PBS hanya tinggal enam kerusi. Hal ini menyebabkan kerajaan PBS tumbang di Sabah dan BN kembali berkuasa hingga PRU 2018.

Pada PRU 2018 Parti Warisan Sabah menjadi kerajaan di Sabah apabila enam Adun daripada Umno dan Pertubuhan Pasokmmogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) melompat dan menyertai parti itu. Hal ini menyebabkan kerajaan Warisan mempunyai 36 kerusi.

Sebelum gejala melompat parti berlaku, BN Sabah memenangi  29 kerusi, Warisan menang 21 kerusi, Parti Keadilan Rakyat dua kerusi manakala DAP enam kerusi serta pula STAR mempunyai dua kerusi DUN.

Lompat parti boleh mengubah pola landskap politik di peringkat negeri atau pun persekutuan.

Apabila sesebuah parti tidak mendapat undi majoriti atau masing-masing dalam kedudukan hampir menguasai majoriti maka usaha memancing wakil rakyat akan berlaku. Ada pula berasa tidak selamat apabila berada di pihak pembangkang.

Pada masa yang sama ini menunjukkan Malaysia cuba menyuburkan amalan demokrasi dengan tidak mengenakan tekanan politik atau memperkenalkan akta khusus bagi membendung lompat parti daripada terus berlaku.

Terpulanglah kepada rakyat sendiri untuk menilai gejala lompat parti ini. – 30 September, 2018.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen