Maszlee umum River of Life jadi lorong buku


River of Life yang sedang dibangunkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan berwajah E-Book Street, membolehkan kecapaian e-buku di kawasan tersebut lebih luas sekali gus mewujudkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2018.

SELURUH kawasan di River of Life atau Sungai Nadi Kehidupan di ibu negara akan dijadikan sebagai lorong buku pertama di dunia pada 2020, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata ia dilaksanakan sebagai satu daripada usaha untuk membangunkan infrastruktur menarik sempena pemilihan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia Ke-20 pada 2020.

“River of Life yang sedang dibangunkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan berwajah E-Book Street, membolehkan kecapaian e-buku di kawasan tersebut lebih luas sekali gus mewujudkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

“Selain itu, kerajaan juga akan mewujudkan Taman Buku Kanak-Kanak, Kompleks Kota Buku serta Muzium Persuratan Melayu dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia yang turut dihadiri Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad.

Maszlee berkata beberapa langkah lain turut diambil bagi menyemarakkan acara itu, antaranya mempelbagaikan aktiviti membaca; menjadikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sebagai destinasi perbukuan masyarakat; pembangunan pembacaan kalangan remaja dan kanak-kanak serta kecapaian buku digital.

Beliau berkata dengan kecapaian buku digital, masyarakat boleh membaca bahan bacaan secara percuma di lapangan terbang, perpustakaan, transit aliran massa (MRT), pusat beli-belah, hospital dan tempat-tempat lain melalui capaian ke portal perpustakaan menggunakan teknologi beacon.

Sementara itu, Khalid berkata bagi menyemarakkan usaha itu, kementeriannya melalui Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM350,000 bagi menambah sekurang-kurangnya sebuah Mini Terminal Sejahtera (Mints) di setiap kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata pembukaan pusat yang dimulakan sejak 10 tahun lalu itu berkesan dalan memberikan kemudahan dan keselesaan kepada anak-anak di projek perumahan rakyat DBKL untuk belajar dan mengulang kaji pelajaran setiap hari.

Bertemakan KL BACA: Menyantuni Masyarakat Melalui Pembacaan aktiviti perbukuan, kesusasteraan dan gerakan membaca itu akan berlangsung bermula 23 April 2020 hingga 22 April 2021. – Bernama, 28 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen