PAC siasat semula 1MDB guna laporan DOJ


Jawatankuasa itu juga akan memanggil bekas Perdana Menteri Najib Razak yang juga bekas pengerusi 1MDB dan ahli perniagaan Low Taek Jho, yang dikaitkan dengan penyelewengan dana syarikat pelaburan itu, untuk memberi keterangan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2018

SIASATAN semula Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Parlimen ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan menggunakan dua laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ), kata pengerusinya Ronald Kiandee.

Dua laporan DoJ itu adalah antara 10 terma rujukan PAC dalam siasatan kali keduanya terhadap syarikat terbelenggu hutang itu.

Jawatankuasa itu juga akan memanggil bekas Perdana Menteri Najib Razak yang juga bekas pengerusi 1MDB dan ahli perniagaan Low Taek Jho, yang dikaitkan dengan penyelewengan dana syarikat pelaburan itu, untuk memberi keterangan.

Bekas Ketua Audit Negara, Ambrin Buang juga akan dipanggil untuk memberikan keterangannya pada hari pertama prosiding siasatan yang akan bermula 29 Oktober ini, kata Kiandee.

Ambrin adalah ketua audit negara ketika jabatannya memeriksa 1MDB dan membentangkan laporannya kepada PAC Parlimen penggal yang lepas pada Mac 2016.

Laporan tersebut pada masa itu diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi, sebelum dicabut oleh kerajaan Pakatan Harapan selepas pentadbiran Najib kalah dalam pilihan raya umum ke-14.– 27 September, 2018.

 

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen