Remaja perempuan mangsa utama krisis kemanusiaan dunia


Temu bual dibuat dalam kalangan remaja perempuan etnik Rohingya di kem pelarian di Bangladesh dengan penyelidikan tertumpu pada isu kahwin paksa, culik, penderaan dan kurang peluang kepada pendidikan. – Gambar EPA, 24 September, 2018.

REMAJA perempuan akan menjadi mangsa utama dalam krisis kemanusiaan bermula dengan perkahwinan paksa, tidak dibenarkan ke sekolah dan risiko kematian 14 kali ganda lebih tinggi berbanding remaja lelaki.

Perkara itu didedahkan Plan International, sebuah NGO di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini selepas tiga siasatan dibuat terhadap etnik Rohingya di kem pelarian di Bangladesh, kumpulan remaja di Chad Basin dan remaja di Selatan Sudan, yang dianggap sebagai antara kawasan paling tidak stabil di dunia.

Penyelidikan itu menumpukan kepada masalah perkahwinan paksa, penculikan, penderaan seksual, perhambaan dan kekurangan peluang melanjutkan pelajaran.

Di kem pelarian padat penghuni di Uganda, kumpulan berkenaan menemuramah 249 remaja perempuan berusia 10 hingga 19 tahun dari selatan Sudan yang menggambarkan “keganasan menjadi kebiasaan di tanah air dan masyarakat setempat”.

“Ia bukan satu perkara mengejutkan kerana konflik di selatan Sudan dibentuk oleh kekejaman yang berleluasa termasuk ke atas wanita dan kanak-kanak, “ kata laporan berkenaan.

Laporan itu juga menyebut sekurang-kurangnya seorang daripada setiap empat remaja terfikir membunuh diri manakala 70% lagi memberitahu, mereka tidak pernah ada makanan yang mencukupi.

Di Chad Basin pula, seorang daripada setiap tiga remaja memberitahu mereka berasa tidak selamat di rumah sendiri, seorang daripada setiap lima remaja dipukul setiap hari manakala seorang daripada 10 remaja mengalami penderaan seksual.

Daripada 449 remaja perempuan yang ditemuramah di Nigeria, Niger dan Cameroon, dua pertiga daripadanya terpisah daripada ayah berikutan konflik manakala 30% lagi terpisah daripada kedua-dua ibu bapa. – AFP, 24 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen