Undang-undang liwat mungkin akan dipinda apabila Anwar jadi PM


Anwar Ibrahim melihat undang-undang liwat di negara ini sudah ketinggalan zaman dan perlu dipinda kerana seseorang boleh dituduh tanpa bukti kukuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2018.

TETAP berpandangan bahawa undang-undang liwat di Malaysia “kuno”, Anwar Ibrahim yang bakal jadi perdana menteri berkemungkinan akan melihat pindaan ke atas undang-undang tersebut apabila beliau mengepalai kerajaan Pakatan Harapan (PH) kelak.

Anwar disabit dan dipenjarakan dua kali kerana liwat - kali pertama pada lewat 90-an selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan kali kedua pada 2014 semasa berkempen untuk Pilihan Raya Kecil Kajang.

Sabitan pertama dibatalkan pada 2004 manakala diberi pengampunan oleh Yang diPertuan Agong pada Mei tahun ini selepas PH menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Bercakap dalam program Upfront terbitan Al Jazeera yang disiarkan awal pagi tadi, Anwar berkata beliau melihat undang-undang liwat di negara ini sudah ketinggalan zaman dan perlu dipinda.

“Ia undang-udang kolonial British yang diperkenalkan di India dan diguna pakai di Malaysia. Bukan sahaja kuno, ia juga sangat tidak adil. Seseorang boleh dituduh tanpa bukti kukuh. Dalam kes saya, sudah pasti,” kata Anwar.

Wartawan Mehdi Hasan membangkitkan satu wawancara Anwar bersama Wall Street Journal pada 2012, di mana beliau menggambarkan undang-undang itu sebagai “kuno” dan berkata ia perlu dipinda.

Hasan turut bertanya kepada Anwar jika beliau akan meminda undang-undang liwat apabila menjadi perdana menteri kelak.

Di Malaysia, seseorang yang disabitkan dengan kesalahan liwat boleh dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.

Wartawan Al Jazeera turut bertanya antara cakap Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, cakap siapakah yang perlu rakyat Malaysia dengar dalam isu LGBT. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2018.

Menurut Anwar, kes melibatkan homoseksual perlu ditangani dengan telus.

“Undang-undang harus dipinda untuk memastikan proses dijalankan secara adil.

“Ini bukan berkenaan orientasi seksual. Ia mengenai apa yang anda lakukan atau paparkan secara terbuka sesuatu yang melanggar norma majoriti rakyat Malaysia - bukan hanya orang Islam, tetapi juga Kristian, Hindu dan Buddha di negara ini.”

Hasan kemudian memetik kenyataan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada bulan lepas, iaitu perbuatan menyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta perjuangan mereka terhadap kesaksamaan adalah haram. Wan Azizah juga berkata gaya hidup golongan ini tidak harus dibuat secara terbuka.

“Anda kata, jika seseorang itu mempunyai orientasi seksual sendiri, itu terpulang kepada mereka. Jadi, rakyat Malaysia terutamanya orang Islam, perlu dengar cakap siapa dalam hal ini? Cakap isteri, atau anda, bakal perdana menteri?” soal Hasan.

Anwar berkata apa yang dimaksudkan oleh Wan Azizah ialah perbuatan songsang itu adalah haram - satu perkara yang tidak dipertikaikan dalam kitab-kitab agama.

“Azizah seorang pemimpin yang bijak dalam cara beliau sendiri. Saya tidak nampak sebarang percanggahan antara pandangan saya dengan pandangan beliau dalam hal ini.” – 22 September, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen