BN, Umno akan terus perintah Malaysia, kata menteri


Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid berkata yang BN dan Umno akan terus memerintah sekiranya pemimpin dan akar umbi terus bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2017.

BARISAN Nasional (BN) yang ditunjangi Umno akan kekal memerintah kerajaan persekutuan dan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Mahdzir Khalid.

Beliau berkata perkara itu boleh direalisasikan jika pemimpin tertinggi sehingga ke akar umbi itu kukuh bersatu dalam kapal yang sama.

“Ada di luar sana (pihak pembangkang) yang bercita-cita mahu menjadi kerajaan tetapi saya tidak fikir anggota Umno akan menyerah bulat-bulat begitu sahaja kepada mereka (pembangkang).

“Walaupun mereka cuba mencari jalan mahu menawan bukan sahaja di Semenanjung tetapi Sabah dan Sarawak,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan Umno Bahagian Semporna, hari ini.

Menurutnya, daripada keberhasilan tanggungjawab kepada rakyat sama ada rakyat luar bandar dan bandar, banyak yang dilakukan kerajaan dalam semua aspek termasuk pendidikan, ekonomi, dan sosial.

“Dalam tempoh 50 tahun, sebuah negara yang dibina kerajaan BN dan Umno sudah buat dasar pendidikan untuk anak bangsa tanpa mengira bangsa dan agama mesti beri pendidikan.

“Kerajaan juga sediakan banyak kemudahan untuk rakyat, kita ada Felda, ada kemudahan untuk nelayan, infrastruktur untuk rakyat dan kerajaan tidak boleh dibina oleh seorang individu tetapi kerja berpasukan,“katanya lagi.

Mahdzir yang juga menteri pendidikan berkata sebab itu tidak ada sebab kerajaan sedia ada bertukar tangan kepada parti pembangkang.   

“Tidak ada sebab kenapa kata kerajaan ini gagal, tak ada sebab kerajaan ini nak bankrup kerana dari segi pencapaian pertumbuhan ekonomi menunjukkan kita punya pretasi baik,” katanya. – Bernama, 5 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen