Saya ada rakaman pertemuan dengan Dr Mahathir, kata Zahid


Ahmad Zahid Hamidi mendakwa memiliki rakaman perbualan perjumpaan dengan bekas pemimpin Umno itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2017.

TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan seorang bekas pemimpin Umno adalah dalang di sebalik usaha menyingkirkan Perdana Menteri Najib Razak.

Katanya beliau mempunyai cukup bukti dalam bentuk rakaman bekas pemimpin itu yang mencadangkan agar Najib dijatuhkan sebagai perdana menteri melalui undi tidak percaya di Parlimen pada masa itu.

“Perbualan ketika perjumpaan dengan bekas pemimpin itu ada dirakam dan rakaman itu juga masih ada pada saya.

“Ketika itu, saya baru 10 hari dilantik menjadi timbalan perdana menteri, jadi macam mana secara logiknya saya mahu jatuhkan (Najib) kalau baru 10 hari pegang jawatan itu,” katanya semasa berucap pada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Jerlun hari ini. 

Baru-baru ini bekas perdana menteri dan presiden Umno Dr Mahathir Mohamad mendakwa Zahid bertemu dan meminta sokongan daripadanya untuk menggantikan Najib sebagai perdana menteri.

Mengulas lanjut, Zahid berkata bekas pemimpin itu perlu bercakap benar apa sebenarnya yang berlaku ketika itu.

“Saya bukan mahu membalas dendam tetapi saya mahu ahli Umno dan rakyat tahu yang berbohong itu adalah dia (bekas pemimpin Umno berkenaan).

“Dia yang mahu jatuhkan (Najib) sebenarnya. Saya bukan jenis orang yang gigit tangan orang yang bagi saya makan dan saya juga tidak ambil kesempatan untuk diri sendiri (bagi mendapatkan sesuatu),” katanya.

Zahid menyifatkan dirinya dijadikan sebagai “jerat”  dan sudah tentu sama sekali tidak akan melupakan perkara tersebut.

Beliau berkata perkara itu tidak didedahkan kepada umum kerana pemimpin berkenaan pada masa itu masih lagi di dalam Umno.

Mendedahkan lebih lanjut tentang perkara itu, Zahid berkata jika undi tidak percaya itu tidak dapat dilaksanakan, opsyen kedua “pakatan itu” adalah menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Najib sebagai perdana menteri.

Timbalan perdana menteri turut menzahirkan rasa hairannya kenapa perkara itu ditimbulkan oleh bekas pemimpin berkenaan selepas dua tahun daripada tempoh pertemuan yang diadakan itu.

“Tiba-tiba orang itu cakap saya yang rancang untuk jatuhkan perdana menteri dan sebab itu saya meminta dia jangan bercakap bohong,” katanya. – Bernama, 4 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen