Pilihan raya kecil memilih perdana menteri


Awang Azman Awang Pawi

Ada pihak yang seolah-olah tidak memahami konsensus pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri seterusnya sehingga menimbulkan konflik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2018.

REAKSI keputusan Anwar Ibrahim bertanding di Port Dickson tidak sama seperti di Permatang Pauh yang disambut oleh seluruh pimpinan PKR. “Langkah PD” ini mendapat tentangan.

Hal ini mengambil kira “Langkah Kajang” yang gagal apabila Anwar tidak dapat bertanding manakala isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail pula ditolak sebagai calon menteri besar Selangor.

PKR, parti dominan dan terkuat dalam Pakatan Harapan (PH), kini kelihatan mempunyai keterbukaan mengkritik proses dan keputusan Anwar bertanding.

Kekeruhan ini dicetuskan sendiri oleh pihak dalaman parti sendiri.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mendakwa tidak ada ketelusan dalam proses membuat keputusan yang kononnya tidak mengikut saluran yang betul. Beliau bimbang ramai yang akan mempersoalkan kredibiliti parti.

Naib Presiden PKR, Tian Chua pula anggap seolah-olah mesyuarat dibuat secara rahsia manakala Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari pula mendakwa tidak tahu secara rasmi akan “Langkah PD” tersebut.

Apakah benar tindakan Anwar tidak melepasi piawai yang sepatutnya dimuktamadkan dalam Biro Politik PKR? Mengapa beberapa pimpinan PKR agak kritikal terhadap presiden PKR yang baharu dan bakal perdana menteri?

Bukankah terdapat satu perjanjian bahawa selepas Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri beberapa tahun, maka akan diserahkan tampuk pemerintahan kepada Anwar?

Persepsi rakyat melihat seolah-olah ada politik berpuak-puak dalam PKR. Ada yang berpendapat, terdapat pihak dalaman PKR sendiri berasa terancam akan kedudukan dan kuasa yang ada pada mereka.

Kebarangkaliannya tinggi bahawa Anwar mempunyai senarai orang kepercayaannya sendiri untuk pentadbiran negara pada masa depan.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mendakwa tiada ketelusan dalam proses membuat keputusan berhubungan 'Langkah PD'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2018.

Ini menyebabkan golongan yang berada di koridor struktur kuasa PKR berasa jawatan dan kuasa yang mereka ada mungkin akan berpindah milik kepada orang Anwar.

Ada juga yang melihat PKR sudah semakin matang dan wajar meraikan kepelbagaian pendapat untuk memperkukuhkan parti agar semakin mantap.

Ramai juga masih terikat dengan gaya pemikiran Marxisme klasik yang setiap konflik itu akan membawa kepada keburukan dan akhirnya akan merosakkan kelompok parti atau masyarakat.

Namun, tidak ramai melihat daripada  perspektif teori konflik baharu yang melihat konflik sebagai positif dan berperanan untuk mengekalkan keseimbangan dalam satu-satu kelompok itu sendiri. Malah, konflik menyebabkan pembaikan berlaku.

Apabila konflik dalaman berlaku ramai menjangka PKR akan berpecah. Ini membawa kepada tindakan keluar daripada parti dan sebagainya.

Namun selepas nama besar seperti Chandra Muzzafar, Zaid Ibrahim, Khalid Ibrahim, Ezam Mohd Nor misalnya keluar parti, PKR semakin stabil dan kuat.  

Jadi, teori klasik mengenai konflik tidaklah tepat.

Ruang demokrasi

Ketika menjelang pilihan raya umum, sudah ada perjanjian PH yang Anwar bakal menjadi perdana menteri selepas Dr Mahathir.

Tempoh beberapa tahun ini sudah dipersetujui dan dimaklumkan kepada rakyat ketika kempen pilihan raya umum.

Apabila PH menang, bermakna rakyat menyokong keputusan tersebut.

Sekiranya tidak bersetuju Anwar ke Parlimen dan menjadi bakal perdana menteri, sudah pasti golongan ini akan menolak PH.

Maknanya, golongan majoriti yang menyokong PH tidak ada masalah untuk melihat Anwar bertanding Parlimen.

Itulah proses yang perlu dilalui Anwar untuk melayakkan menjadi perdana menteri.

Namun, ada pula seolah-olah tidak memahami proses tersebut. Anwar juga berjanji Wan Azizah akan berundur daripada jawatan Kabinet bagi memperkukuhkan integriti pentadbiran apabila beliau menjadi perdana menteri.

Strategi politik

Seorang ahli politik berkarisma bukan sahaja mampu menarik penyokong tetapi dapat membaca situasi politik beberapa langkah ke depan.

Kalau sekadar menunggu takdir politik dan lambat bertindak, orang itu bukanlah ahli politik tetapi ahli nostalgia sejarah.

Suasana politik PH sendiri masih kurang ampuh, banyak kritikan pentadbiran dan apatah lagi manifesto pilihan raya tidak akan tercapai.  

PKR sendiri semacam ada isu yang lebih kompleks daripada masalah umum yang terpapar dalam media.

Anwar Ibrahim berjanji isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail akan melepaskan jawatan dalam Kabinet selepas beliau menjadi perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2018.

Misalnya isu tabung parti yang sepatutnya disumbangkan ahli DUN, Parlimen dan golongan sepatutnya pada setiap bulan dan dikatakan tidak berjalan dengan lancar dan menyebabkan Anwar dan Wan Azizah terpaksa menggadai rumah untuk mendapatkan pinjaman RM4 juta bagi tujuan membantu tabung parti pada pilihan raya umum lepas.

Suasana politik yang sukar diramal dalam kerajaan PH dan PKR menyebabkan langkah kembali ke Parlimen tidak dapat dielakkan oleh Anwar.

Apa-apa sahaja boleh berlaku dalam politik dan semakin dilewatkan bermakna semakin tinggi risiko politik yang perlu dihadapi.

Dakwaan tergesa-gesa tentulah tidak sesuai apabila dibandingkan dengan pengalaman 11 tahun di penjara dan dua dekad bergelumang dengan pelbagai kesulitan dan terus bersabar dalam perjalanan politik.

Cabaran Anwar bukanlah sahaja pilihan raya kecil (PRK), akan tetapi dibimbangi langkah atau tekanan hingga saat akhir untuk menghalangnya menjadi perdana menteri.

Ketika ini PH dikemudikan oleh beberapa orang sahaja ahli Kabinet yang dilihat berpengalaman.

Justeru, langkah Anwar menjadi ahli Parlimen mampu mengukuhkan kedudukan PH dalam perdebatan di Parlimen dan memainkan peranan yang lebih aktif sebagai anggota Parlimen.

Apa pun PRK Port Dickson ini pasti berbeza dengan tiga PRK sebelum ini.

PRK kali ini untuk memilih bakal perdana menteri Malaysia. Ia juga melibatkan personaliti politik dan ikon penting tokoh politik negara.

Sudah pasti populariti tinggi menghasilkan jumlah peratusan turun mengundi lebih baik daripada tiga PRK yang lalu. Inilah yang pasti! – 16 September, 2018.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • DsAI is the best PM for Malaysian in Malaysia Baru

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Ramli Andiappa · Ulasan