Polis tahan lelaki ugut bunuh KM Sarawak


POLIS menahan seorang pembantu gimnasium bagi membantu siasatan berkaitan satu catatan di media sosial yang menyiarkan ancaman bunuh terhadap Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg, di Kota Samarahan, kira-kira 30km dari Kuching, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dennis Leong berkata lelaki berumur 32 tahun itu dipercayai menggodam akaun Facebook orang lain untuk menyiarkan ancaman itu.

Beliau berkata sIasatan dibuat selepas polis menerima satu laporan di Miri berhubung catatan itu pada 7 September lepas, dan siasatan pada mulanya mendapati catatan itu mungkin dibuat oleh seorang individu di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun menurutnya siasatan lanjut seterusnya mendapati akaun facebook itu mungkin digunakan oleh seorang individu dari Sarawak.

“Kira-kira pukul 4.30 petang semalam satu pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak mengesan lelaki itu dan menahannya di Kota Samarahan. Suspek bekerja sebagai pembantu gimnasium dan kini ditahan reman selama empat hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Dennis berkata polis percaya individu itu sengaja cuba menganiaya pemilik akaun media sosial berkenaan disebabkan rasa cemburu, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan. – Bernama, 14 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen