Tiada kes culik kanak-kanak di Simpang Renggam, kata polis 


POLIS Johor hari ini menafikan adanya kejadian culik melibatkan kanak-kanak berusia lima tahun di Simpang Renggam, dekat Kluang, yang tular menerusi laman Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak Selasa (11 September) lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang DSP Abdul Razak Abdullah Sani berkata bapa kepada kanak-kanak yang didakwa diculik telah tampil membuat laporan polis menafikan kejadian itu. 

“Laporan yang dibuat bapa mangsa yang juga seorang anggota polis pada 11 September lepas turut menyatakan dia tidak tahu siapa yang menyebarkan berita tidak benar itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Razak berkata laporan itu dibuat bapa kanak-kanak terbabit kerana bimbang terjadi sesuatu di kemudian hari.

Beliau berkata perbuatan menyebar dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dakwaan yang diperoleh daripada sumber tidak sah dan menggunakan maklumat palsu. – Bernama, 14 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen